Fatwa MUIS ( Singapura )

23. TARIKAT

Berapa jumlah tarikat-tarikat yang ada, yang mana yang terdahulu dan yang mana yang terkemudian?
Tarikat sebagai salah satu aliran ilmu tasauf adalah jalan atau cara hidup yang diamalkan oleh para sufi dengan tujuan untuk mendapat keredaan Allah. Timbulnya tarikat-tarikat ini dikatakan pada kurun kedua Hijriah iaitu apabila kehidupan keduniaan bagi masyarakat Islam masa itu telah mencapai kepada kemewahan yang melewat batasan, maka timbullah pula golongan yang hendak menolak kemewahan hidup dunia ini.
Jumlah atau bilangan tarikat-tarikat dalam Islam adalah banyak; ada yang mengatakan sebanyak 98 tarikat atau mungkin lebih dari itu kerana ada yang wujud pada masa-masa kebelakangan ini, seperti Tarikat Azamiah. Pengasasnya adalah Shaikh Mohamad Madhi Abul Azaem di Kahirah. Ada dari kalangan tarikat-tarikat ini yang kekal dan banyak juga yang telah lenyap dan tidak lagi diketahui. Bahkan ada juga yang tertolak kerana pembawaan-pembawaan atau amalannya yang melanggar hukum.
Antara tarikat-tarikat yang termasyhur dan kekal berkembang adalah Tarikat Al-Qadiriyah, Tarikat An-Naqsyabandiyah, Tarikat Ar Rifaiyah, Tarikat Asyaziliyah dan Tarikat Al-Idrisiyah dan lain-lain. Antara tarikat yang terdahulu sekali adalah tarikat yang dipimpin oleh Syaikh Imam Abdul Qadir Jailani dengan nama Al-Qadiriyah dan yang terkemudian sekali mungkin Al-Azamiah yang dipimpin oleh Shaikh Mohamed Madhi Abul Azaem, kira-kira 96 tahun dahulu.

24. ASAP DARI BABI PANGGANG

Adakah najis asap dari babi panggang dan adakah kain yang berbau asap dari babi panggang juga dianggap najis?
Najis adalah benda kotor yang menghalang sahnya sembahyang kita. Menurut Mazhab Shafii, menghilangkan najis dari badan dan tempat sembahyang adalah wajib.
Asap dari membakar benda-benda yang najis, seperti tahi lembu atau kayu-kayan yang terkena najis-najis termasuk babi adalah najis juga, tetapi jika kadarnya sedikit adalah dimaafkan. Ini adalah berpandukan nas dari kitab “Anwarul Masalek” muka surat 33, karangan Syaikh Muhamad Azzuhri Al-Ghamrawi yang bermaksud: ” Dan asap danpada benda-benda najis adalah najis juga, dan dimaafkan kadarsedk dary)adanya. ” Jika disapu kesan-kesan dari asap itu dengan kain yang kering yang dapat menghilangkan kesannya maka tempat itu menjadi bersih yakni tidak lagi dianggap najis tetapi jika dikesat dengan kain yang basah maka tempat itu tetap najis (belum bersih dari kotoran najisnya).
Kain-kain yang dijemur di luar rumah jika sudah terbau asap-asap dari bakaran najis itu dianggap najis kerana tentu telah terkena asap dalam masa yang lama.

25. WANG SEDEKAH KEMATIAN

Bolehkah wang ini digunakan untuk membuat kenduri tahlil arwah, membuat dapur-dapur kubur, melaksanakan nazar si mati bagi membuat akikah arwah anaknya, membayar fidyah puasa si mati dan membayar hutangnya dan selebihnya diberikan kepada salah seorang anaknya yang dalam kesusahan?
Wang tersebut boleh digunakan untuk kenduri tahlil arwah dan membuat dapur-dapur kubur menurut kadar yang munasabah. Wang ini boleh juga digunakan untuk melaksanakan nazar si mati untuk membuat akikah arwah anaknya. Juga boleh digunakan untuk membayar fidyah si mati, hutangnya dan selebihnya diberikan kepada salah seorang dari anak-anaknya yang dalam kesusahan.

26. HUTANG

Ibu saya ada berpesan kepada seorang yang ada berhutang dengan ibu saya supaya membayarkan hutangnya itu kepada seorang yang ibu saya berhutang dan ibu saya berpesan bakinya hendaklah disedekahkan kepada masjid-masjid atau sebagainya. Bolehkah wang baki itu saya sedekah sahaja kepada orang yang berhutang kepada ibu saya itu kerana ia dalam kesusahan?
Anda wajib menunaikan wasiat ibu anda itu, iaitu memberikannya kepada masjid bahkan kepada orang yang berhutang itu. Dalam hal melaksanakan wasiat si mati, anda perlu memerhatikan peraturan wasiat dalam Islam. Satu daripadanya ialah jangan melebihi 1/3 harta si mati.

27. KAMBING KORBAN (UDHIYAH)

Apa hukum kambing korban yang dikontotkan ekornya?
Menurut hukum agama tidak sah membuat korban (udhiyah) dengan binatang-binatang yang cacat iaitu dari apa yang diterangkan oleh hadis Nabi s.a.w.
ertinya: “Tidak sah membuat korban binatang-binatang yang nyata butanya, yang nyata mengidap penyakit, yang nyata timpangnya, dan yang kurus kering.” Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah dengan sanad yang disahkan oleh Tirmizi.

Ulama fiqh telah menyebutkan bahawa selain daripada jenisjenis cacat yang disebutkan oleh hadis tadi termasuk juga sebarang kecacatan lain seperti gila, buta, terlalu tua, terpotong telinganya atau pada umumnya sebarang cacat yang mengurangkan daging binatang korban itu.

Singapura adalah sebuah negara yang tidak mempunyai sumber binatang ternak yang sah dibuat korban iaitu unta, lembu atau kambing. Binatang korban yang banyak sekali dibawa masuk ke Singapura ialah kambing. Negara pembekal utama kambing ini ialah Australia. Jarang pula dilaporkan kambing-kambing hidup dibawa masuk dari New Zealand.

Sejak dahulu lagi tidak diketahui bahawa kambing-kambing ini telah dipotong ekornya. Maka sekarang timbul pertanyaan adakah kambing-kambing yang telah dipotong ekornya dianggap cacat dan adakah amalan korban yang telah dibuat pada tahun-tahun yang telah lepas tidak sah?

Jawatankuasa Fatwa MUIS yang membahaskan perkara ini berpendapat bahawa ibadat korban yang telah dibuat dengan kambing-kambing yang sedemikian rupa tetap sah, dan insya-Allah terkabul di sisi Allah Taala kerana ianya didasarkan bahawa binatang-binatang itu memang tidak cacat pada hakikatnya, khususnya cacat-cacat yang disebutkan di dalam hadis Nabi tadi tidak terdapat pada binatang-binatang ini.

Pemotongan ekor-ekor kambing yang dibawa masuk dari Australia atau New Zealand itu sebenarnya telah dilakukan sewaktu kambing-kambing itu masih kecil lagi oleh sebab-sebab kesihatan. Dalam penyelidikan kami, kami telah diberitahu bahawa di Australia dan New Zealand ada sejenis langau yang lazimnya hinggap di bahagian ekor-ekor kambing yang telah besar dan menyedut lemak yang ada di ekor kambing-kambing ini. Langau-langau ini akan bertelor dan membiak di situ sehingga mengakibatkan kudis dan mungkin membawa kesan yang sangat buruk kepada kambing-kambing itu dan seterusnya membawa bahaya kepada kesihatannya. Oleh yang demikian, ekor kambing-kambing itu dipotong untuk menolak bencana tersebut.
Amalan memotong ekor kambing-kambing kibasy ini pernah dijalankan pada zaman dahulu lagi iaitu pada zaman Imam er Ramli kira-kira kurun sepuluh Hijrah dahulu. Beliau pernah ditanya tentang hukumnya sebagaimana yang tersebut dalam Kitab Fatawa Alkubra Alfiqhiyah oleh Ibn Hajar di Juz 4 muka surat 67 di bahagian margin. (Babul Udhiyah).

ertinya: “Telah menjadi kebiasaan pada zaman kita ini dipotong sebahagian daripada ekor kambing korban; dan sebahagian orang menyangka bahawa pemotongan itu akan menyebabkan kambing-kambing itu gemuk. Sama ada ekor itu tidak lagi menjejak ke tanah atau tidak ataupun memberi kesan kambing itu akan menjadi gemak atau tidak. Adakah sah kambing seperti ini dijadikan korban?”

Jawab beliau adalah “Sah amalan korban dengan binatang yang dipotong sebahagian ekomya kerana pemotongan itu biasanya adalah sebahagian kecil daripada anggota yang besar tenotama sekali tujuan pemotongan itu untuk membolehkan kambing-kambing itu membesar, maka perbuatan itu adalah sama dengan memotong pelimya (dikembirScan supaya menjadigemuk).”

Memandangkan kepada pemotongan sebahagian kecil daripada ekor itu bukanlah dikira cacat yang disebutkan dalam hadis Nabi tadi bahkan sebaliknya untuk menggemukkan dan mencegah dari terkena penyakit yang boleh menjadikannya cacat (kudis), maka Jawatankuasa Fatwa MUIS berpendapat bahawa kambing-kambing yang dikontotkan ekornya atau dikembirikan itu sah dibuat ibadat korban dan aqiqah. Ini juga adalah kerana di negara kita tidak terdapat kambing-kambing lain yang boleh menggantikannya, dan supaya tidak tergendala syariat agama yang sangat digalakkan iaitu ibadat korban dan juga ibadat aqiqah.

28. MEMBAYAR ZAKAT FITRAH DENGAN CEK

Adakah Islam mengharuskan zakat fitrah dibayar dengan cek. Dan apakah hukumnya jika cek itu terlambat sampai di MUIS?
Ya, harus (dibolehkan) kerana menurut Islam seseorang yang sudah memiliki nisab wang dan cukup setahun dimilikinya, ia wajib mengeluarkan zakatnya dengan apa cara sekalipun, sama ada ia sendiri membahagikannya jika tidak dituntut oleh pihak yang berwajib atau ia menyerahkannya kepada pihak yang berwajib atau ~ia mewakilkan seseorang atau sesuatu pihak yang membahagikannya.

Dengan itu nyatalah keharusan mengeluarkan zakat dengan cek kerana dengan cara ini pihak bank membantu untuk menyampaikannya kepada pihak yang berwajib. Semasa anda menulis cek itu sudah ada niat untuk berzakat. Anda tidak berdosa dengan sebab lambat sampainya cek itu kepada MUIS jika bukan kecuaian anda.
Ketika membuat cek, pesanan pos atau lain-lain, si pemberi zakat fitrah hendaklah berniat: “Ini zakat ftrahku yang wajib atas diriku dan tanggunganku, aku keluarkan kerana Allah Taala.” Atau bagi niat zakat harta: “Ini zakat hartaku yang wajib atas diriku, aku keluarkan kerana Allah Taala.” Si penerima pesanan pos atau pesanan wang tidaklah dikehendaki membuat apa-apa niat. Oleh itu sama ada si penerimanya di pihak pos tersebut orang Islam ataupun bukan tidaklah menjadi masalah.

Mengenai zakat fitrah, jika seseorang itu membayarnya pada awal waktunya yang bermula dengan masuknya bulan Ramadan biasanya tidak akan terlambat tetapi kalau dikeluarkan di akhir Ramadan, mungkin ceknya sampai lambat. Walau bagaimanapun jika ia telah mengeluarkannya sudah dianggap sah.

29. WANG PAMPASAN DARI SYARIKAT INSURANS

Apa hukum wang pampasan dari kemalangan yang mengakibatkan kehilangan jiwa yang diterima daripada syarikat insurans?

Wang pampasan ini adalah tergolong dalam kategori diat ” 4~ hukumnya adalah halal. Wang diat adalah menjadi pusaka dan hendaklah dibahagikan menurut pembahagian harta pusaka (hukum faraid).
Ini kerana kemalangan itu disebabkan oleh satu pihak lain. Maka orang yang ditimpa kemalangan itu harus menerima pampasan atau gantirugi. Menurut peraturan Islam, setiap orang yang mencederakan orang lain wajib membayar ganti rugi yang disebut “diat”. Orang yang menyebabkan kemalangan itu wajib membayar diatnya sama ada ia sendiri membayarnya atau ada pihak lain membayarkan untuknya. Maka di sini pihak insurans telah membayarkannya. Bagaimana dia mendapatkan insurans itu soal lain. Adapun orang yang memegang polisi insurans kemalangan, insurans nyawa dan sebagainya maka hukumnya ada khilaf antara ulama. Sebahagian menghalalkan dan sebahagian mengharamkannya. (Sila rujuk kepada Buku Kumpulan Fatwa I).

30. PASARAN SAHAM -1

Apa hukumnya dalam Islam mengenai jual beli saham?

Membeli saham-saham daripada syarikat-syarikat yang memperniagakan barang-barang yang diharuskan oleh Islam hukumnya harus kerana ia disifatkan sebagai berkongsi dalam perniagaan. Dengan demikian saham yang dimiliki itu boleh diperjual belikan.

31. PASARAN SAHAM – 2

Apa hukum Islam membeli saham syarikat dengan meminjam wang dari bank bukan Islam dengan tujuan mendapat keuntungan bila menjualnya kelak?

Sebagaimana membeli saham hukumnya harus maka meminjam wang untuk membelinya juga hukumnya harus. Yang haram ialah membayar bunga atas pinjaman wang tersebut.

32. PASARAN SAHAM – 3

Bagaimana pula keuntungan wang yang diperolehi dengan jual beli saham dipandang dari hukum Islam ?
Apabila jual beli itu dipandang sah dalam hukum Islam, maka keuntungannya adalah halal.

33. PASARAN KEWANGAN (FOREIGN EXCHANGE)

Apa hukumnya menceburkan diri dalam pasaran kewangan? Dan bagaimana pula dengan keuntungan/kerugiannya?

Jual beli mata wang syaratnya sama seperti syarat-syarat pada jual beli emas iaitu (1) sama nilai (2) tunai (3) barangnya ada semasa akad jual beli. Jika setiap syarat tersebut dipenuhi maka jual beli tersebut adalah sah dan keuntungannya halal.

Adapun muamalah jual beli emas, perak dan mata wang yang tidak menurut syarat-syarat tersebut, jika sekiranya yang membayar ikhlas dengan niat sebagai bayaran perkhidmatan dan tidak disyaratkan pula oleh kedua belah pihak dalam akad maka hukumnya adalah harus.

34. JUAL BELI EMAS DENGAN EMAS/WANG

Apa hukumnya membeli emas dengan tujuan mendapat keuntungan/kerugian bila dijual kelak?
Jual beli emas dengan emashvang menurut hukum Islam mestilah menurut 3 syarat yang berikut: (1) sama nilai (2) tunai (3) barangnya ada semasa akad jual beli. Jika syarat-syarat tersebut dipenuhi maka jual beli tersebut adalah sah.

35. JUAL BELI RUMAH

Apa pandangan Islam mengenai pasaran perumahan, untung dan ruginya ?
Jual beli rumah hukumnya adalah harus.

36. MENGHIASI MASJID

Apa pendapat J/K Fatwa dalam hal mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghiasai masjid yang sedang dalam pembinaan seperti ada masjid yang membuat mimbar dengan belanja berpuluh ribu dolar?
Menurut hukum Islam menghias-hias masjid secara berlebih-lebihan adalah makruh. Jika wang yang digunakan daripada wang yang dikhairatkan kepada masjid, hukumnya adalah haram, kerana perkara ini adalah pembaziran yang dilarang oleh agama.

Tersebut dalam Kitab “Bushyatul Mustarsyidin” dalam menerangkan beberapa hukum masjid, As-Syaikh al-Khatib di dalam kitabnya Al-Mughni telah menerangkan: “Sesuatu yang diwakafkan untuk masjid secara umum hanya digunakan untuk menjaga bangunan masjid iaitu membinanya, memperkuat bangunannya, membuat tangga, tembuk untuk berlindung (sengkuap dan sebagainya), membeli penyapu, penyuduk tanah, membuat sesuatu melindungi kayu pintunya supaya tidak lapuk dek hujan jika tidak mengganggu orang ramaiyang lalu di situ dan membayar gaji orang yang menjaga bangunan ini Tetapi gaji muazzin, imam, membeli tikar, minyak (untuk lampu sekarang dikiaskan belanja api air) tidak boleh diambil dari waqaf untuk bangunan kerana perbelanjaan ini bukan untuk menjaga bangunan. Kalau wakaf itu untuk faedah masjEd (secara umum bukan khusus untuk bangunan) bolehlah dibelanjakan hasil wakaf itu untuk orang yang tersebut itu (muazzin, imam dan sebagainya) tetapi tidak boleh dibelanjakan untuk menghias dan mengukirnya. Malah jika ada orang berwakaf khusus untak ini juga tidak sah wakafnya “.

Seterusnya penyusun kitab “Bughatul Mustarsyidin” menerangkan bahawa: Assyeikh Arramli mengiktimadkan dalam kitabnya An-Nihayah bahawa dalam hal wakaf secara mutlak boleh juga dibelanjakan untuk muazzin dan seterusnya dimasukkan juga belanja tikar dan minyak. Di sini ternyata menghias masjid dari duit wakaf langsung tidak dibenarkan. Kalau diwakafkan untuk itu pun tidak sah. Ini ialah kerana, Islam tidak menggalakkan menghias masjid dengan hiasan yang tidak diperlukan. Walaupun wang diberikan untuk masjid tidak dilafazkan sebagai wakaf tetapi tentunya ia diniatkan oleh orang yang berkhairat itu untuk keperluan masjid. Maka apa yang dipandang perlu oleh Islam untuk masjid diharuskan kita membelanjakannya dan apa yang tidak perlu tidak diharuskan.

Walau bagaimanapun, J/Kuasa Fatwa mengambil kira tentang pemodenan bangunan-bangunan lain di sekeliling masjid kita di negara kita ini. Maka dari itu J/K Fatwa berpendapat bahawa memperindah masjid dan menghiasinya hendaklah secara sederhana dan berpatutan serta tidak membazirkan wang dan bukan dengan tujuan berlumba-lumba antara satu jawatankuasa masjid dengan satu jawatankuasa masjid yang lain. Jawatankuasa masjid hendaklah bersederhana dalam membelanjakan wang masjid.

37. MEMAKAI aT-SHIRT” BERTANDA ‘ + ‘

Bolehkah para pekerja Islam diminta memakai “T-Shirt” yang mempunyai tanda (+) yang berwarna hijau?
Orang Islam yang tidak mahu memakai “T-Shirt” dengan tanda tersebut kerana menganggap ia merupakan satu dari jenisjenis salib maka mereka tidak boleh dipaksa memakainya. Tetapi jika ada yang mahu memakainya, maka ianya adalah diharuskan kerana tanda ‘+’ hijau tersebut bukan mesti melambangkan salib Kristian.

38. PENYEMBELIHAN BINATANG

Adakah halal penyembelihan orang Islam yang berkahwin dengan perempuan kitabiah?
Penyembelihan orang Islam yang berkahwin dengan perempuan kitabiah adalah halal.
Adakah menjadi halangan bagi orang yang kidal bekerja sebagai penyembelih?
Adalah tidak menjadi halangan orang yang kidal bekerja sebagai penyembelih.

39. UJIAN DARAH

Apa pandangan Islam jika seseorang itu menjalani ujian darah untuk mengetahui sama ada ia berpenyakit keturunan?

Tidak menjadi kesalahan menurut hukum Islam bagi seseorang itu menjalani ujian darah untuk mengetahui sama ada ia berpenyakit keturunan.

40. KETURUNAN

Seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang tidak diketahuinya masih menjadi isteri orang. Dari pernikahan ini mereka telah mendapat beberapa orang anak. Adakah anak-anak ini dianggap sebagai keturunan yang sah?

Oleh kerana suami tidak mengetahui semasa ia bernikah keadaan sebenarnya bahawa perempuan yang dinikahinya masih menjadi isteri orang maka nikahnya tidak sah dan bersatunya itu dikira “wati syubhah” kerana ia tidak mengetahui hal itu dan ia tidak bersalah. Anak-anaknya dari perkahwinan tersebut dianggap sebagai anak yang sah tetapi pasangan itu mesti dipisahkan.

41. PUSAKA – 1

Apa hukum wasiat yang melebihi dari 1/3 bahagian pusaka?
Wasiat yang melebihi 1/3 bahagian hukumnya bergantung kepada keredaan para waris yang berhak. Jika tidak ada keredaan mereka, wajib dikurangkan kepada had maksimum wasiat iaitu 1/3 dari pusaka dan selebihnya hendaklah dibahagikan kepada waris. Izin itu hanya diakui sah jika diberikan oleh waris setelah matinya pembuat wasiat itu.

42. PUSAKA – 2

Bilakah hak waris bermula?

Hak waris bermula dari kepastian matinya orang yang mewariskan setelah dilaksanakan semua hal-hal yang bersangkutan dengan harta itu, iaitu:
Pertama: Hutang yang bersangkutan dengan harta pusaka tersebut misalnya zakat dan seumpamanya.
Perbelanjaan mengurus jenazah secara berpatutan. Membayar hutang-hutang si mati Wasiat yang tidak melebihi 1/3 dan bukan untuk waris.
Akhirnya barulah menjadi pusaka yang boleh dibahagikan.

43. PUSAKA – 3

Adakah para waris berhak menuntut pusaka dan adakah si mati boleh mewasiatkan sekatan atau penangguhan atas penjualan peninggalannya ataupun mengadakan syarat-syarat lain?

Apabila harta sudah menjadi pusaka selepas dilaksanakan semua hal-hal yang bersangkutan dengannya, maka sekatan-sekatan dan penangguhan adalah tidak sah, oleh kerana harta itu sudah bertukar menjadi milik kepada para waris. Maka dengan sendirinya waris tersebut berhak menuntut haknya.

44. BUKU “HAKIKAT INSAN”

Apakah pandangan J/K Fatwa mengenai buku “Hakikat Insan” oleh Hj Ahmad Laksamana b Umar, Kota Bahru, Kelantan, Malaysia?
Setelah meneliti buku tersebut, JIK Fatwa berpendapat bahawa buku “Hakikat Insan” ini menyesatkan. Ia tidak harus diedarkan kerana banyak mudaratnya dan tidak ada manfaatnya.

45. UPACARA PERKAHWINAN

Apakah pandangan Islam mengenai seorang Jaksa Pendamai Islam menjalankan perkahwinan sivil bagi orang-orang bukan Islam?
Tidak harus seorang Jaksa Pendamai Islam menjalankan perkahwinan sivil kerana ia tidak diakui sah oleh Islam. Khasnya ia akan terbabit dalam perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Islam.

46. WASIAT ATAS HARTA PENINGGALAN

Adakah wajib membuat wasiat atas harta peninggalan?

Mengikut ajaran Islam, orang Islam sangat-sangat digalakkan membuat wasiat supaya tidak meninggalkan masalah kepada warisnya yang hidup dan kepada dirinya sendiri setelah matinya. Isi wasiat selain daripada berpesan-pesan kepada waris-warisnya supaya bertaqwa kepada Allah, adalah sesuai ia menguntukkan sebahagian daripada hartanya untuk amal kebajikan yang tidak melebihi 1/3 dari hartanya. Wasiat memberi harta ini tidak sah jika ditujukan kepada waris-warisnya sendiri kerana tiap waris telah tertentu pembahagiannya mengikut hukum faraid.

%d bloggers like this: