Fatwa MUIS 3

JENIS BARANGAN YANG DIJUAL DI BANGUNAN WAKAF

Sekiranya di satu tanah wakaf yang telah dibangun semula mempunyai kedai-kedai atau pusat membeli-belah, adakah disyaratkan barangan yang dijual di situ mesti barangan yang halal sahaja ?
Tidak mesti mensyaratkan penyewanya supaya menjual barang-barang halal sahaja tetapi jika ia memberitahu kepada kita bahawa tujuan ia menyewa ialah untuk berniaga barang-barang yang haram maka kita harus menolaknya daripada menyewakannya.

Jika selepas disewakan kelihatan penyewa tadi menjalankan perniagaan barang-barang haram, kita hendaklah bertindak menghentikan penyewaannya seberapa yang terupaya.

HAD MASA ATAS PERWAKAFAN

Seseorang telah berwasiat menjadikan rumahnya sebagai wakaf bagi anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya untuk jangka masa sehingga 20 tahun selepas kematian anak terakhirnya . Adakah wasiatnya ini mewujudkan suatu wakaf yang sah ?

Jawatankuasa Fatwa berpendapat pada dasarnya perwakafan serupa ini adalah tidak sah kerana ia tidak berkekalan dan memutuskan berdasarkan (lafaz) pada wasiat tersebut, iaitu “wakaf ini berlaku sehingga dua puluh tahun selepas kematian anak saya yang terakhir”, maka ianya tidak diakui sebagai wakaf kerana ada bersyarat had masa sedangkan tujuan wakaf adalah berkekalan tanpa had masa.

PEMBAHAGIAN KHAIRAT MENURUT WASIAT WAKIF

Wasiat si pewakaf menghendaki khairatnya dibahagi-bahagikan di Makkah, Madina dan Baghdad. Pemegang amanahnya mendakwa bahawa pembahagian itu adalah rumit. Apakah khairat-khairat itu boleh dibahagi-bahagikan di tempat lain ?
Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan persoalan tersebut dan berfatwa seperti berikut:
a. pemegang amanah kepada wakaf tersebut mestilah menjalankan wasiat itu kerana harta wakaf tersebut adalah harta Allah ;
b. dakwaan bahawa terdapat kerumitan dalam pembahagian harta wakaf tidak dapat diterima kerana sesungguhnya orang-orang miskin yang boleh diberikan harta wakaf itu masih banyak terdapat di Makkah, Madina dan Baghdad ;
c. untuk mengatasi kerumitan bagi pemegang amanah membahagikan harta wakaf tersebut, adalah dinasihatkan agar pemegang amanah mewakilkan seseorang yang dipercayai di – ketiga-tiga bandar tersebut untuk dibahagikan kepada fakir miskin dan orang-orang yang layak menerimanya. Pembahagian yang dijalankan oleh wakil itu hendaklah disaksikan oleh 2 orang lain bahawa sesungguhnya khairat itu telah dibahagikan sebagaimana mestinya.

BARANG-BARANG WAKAF MASJID

Apakah hukumnya jika barangan yang diwakafkan kepada masjid dijual dan segala hasilnya di gunakan untuk kegiatan dan pentadbiran masjid, kerana harta yang diwakafkan itu terlalu banyak hinggakan ada yang terbiar? Barangan yang dimaksudkan seperti berikut: sejadah, telekong, kain pelikat dan lain-lain barangan.

Apakah hukumnya jika kita menjual al-Quran, kitab Yasin yang diwakafkan kepada pihak masjid dan hasilnya digunakan untuk masjid tersebut? Kerana al-Quran dan kitab Yasin itu terlalu banyak hingga ada yang rosak.

Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa barang-barang yang sudah diwakafkan tidak boleh dijual.
Jika masjid tidak memerlukan dan dikhuatiri barang-barang tersebut akan terbiar rosak maka masjid diharuskan menjual barang-barang tersebut dan hasilnya mestilah digunakan untuk bangunan dan maslahat yang kekal bagi masjid seperti memperbaiki kerosakan pada masjid. Tidak harus digunakan untuk kegiatan dan pentadbiran.

WASIAT 1/3 PENINGGALAN UNTUK DIWAKAFKAN

Seseorang telah mewasiatkan 1/3 dari estet peninggalannya untuk maksud perwakafan ? Adakah wasiatnya ini sah ?

Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa Yang Membuat wasiat ketika membuat wasiat tersebut telah mewasiatkan untuk membuat kebajikan yang berkekalan.
Wasiat tersebut bermaksud untuk membeli rumah atau sebuah kedai yang diharapkan dapat meraih hasil yang berlanjutan. Wasiat itu tidak boleh diubah dan wajib dipatuhi.
Yang demikian, rumah atau kedai itu mestilah dibeli dari hartanya dan jadilah ia wakaf yang berkekalan sepertimana yang dikehendaki oleh si pembuat wasiat.

WASIAT YANG DIBUAT SEBELUM SESEORANG MASUK ISLAM
Seorang rakyat negara asing telah membuat wasiat sebelum beliau memeluk agama Islam, bahawa hartanya yang ada di negara itu adalah untuk anak-anaknya jika beliau meninggal dunia. Setelah menjadi seorang Muslim dan bernikah dengan seorang wanita Islam, beliau meninggal dunia, sedangkan wasiat yang dibuat dahulu tidak dibatalkan dan anak-anaknya juga tidak memeluk agama Islam. Pertanyaannya adakah sah wasiat tersebut?
Jawatankuasa Fatwa bersetuju bahawa wasiat tersebut adalah sah dan lulus, dengan syarat bahagian yang diwasiatkan tidak melebihi satu pertiga (1/3) daripada keseluruhan harta peninggalan si mati.

WASIAT ORANG YANG MURTAD

Adakah wasiat yang dibuat oleh orang yang telah murtad ketika ia berugama Islam tetap tertakluk kepada undang-undang Islam?

Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa wasiatnya seseorang yang telah keluar dari agama Islam tidak lagi tertakluk dibawah undang-undang dan peraturan syariat Islam.

WASIAT UNTUK ORANG BUKAN ISLAM

Apakah boleh seseorang Islam membuat wasiat yang mana pewarisnya adalah orang bukan Islam ?
Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa adalah dibolehkan bagi seseorang Islam membuat wasiat kepada seseorang bukan Islam selagi tidak melebihi 1/3 dari harta peninggalannya.

WASIAT 1/5 PENINGGALAN KEPADA ANAK ANGKAT

Seseorang telah membuat wasiat. Dalam wasiatnya itu, almarhum telah mewasiatkan 1/5 daripada hartanya kepada anak angkatnya. Adakah wasiat tersebut dihukumkan sah atau sebaliknya?
Jawatankuasa Fatwa telah memfatwakan bahawa wasiat tersebut adalah sah kerana bahagian yang diberi tidak melebihi 1/3 daripada harta peningggalan si mati dan bukan kepada waris.

WASIAT UNTUK CUCU YANG BUKAN WARIS DAN BERSYARAT

Seseorang telah membuat wasiat agar cucu perempuannya mendapat saham yang sama seperti saham seorang anak perempuannya dari harta peninggalannya. Sahamnya ini hendaklah diberikan kepada cucu yang dinamakannya itu ketika cucu perempuan tersebut diakad nikahkan bukan sebelumnya. Rumah peninggalannya pula tidak boleh dijual sehingga seorang anaknya yang dinamakannya mencapai usia 21 tahun kecuali jika terdapat percanggahan atau kesulitan dalam Syariah Islam atau Undang-undang Sivil, maka
Pengamanah diberi hak melaksanakan apa yang baik pada pandangannya untuk dijual.
Jawatankuasa Fatwa diminta memberikan pandangan samada wasiat ini diakui sah menurut hukum Islam ?
Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa wasiat almarhum memberikan sebahagian dari peninggalannya kepada cucu perempuannya yang tersebut itu, adalah sah kerana cucunya itu bukan waris dan apa yang diwasiatkan untuknya tidak lebih dari satu pertiga pusaka.

Syarat yang diletakkan oleh almarhum, iatu penyerahan bahagian cucu tersebut dilaksanakan sewaktu akad nikahnya dan juga syarat rumah tidak boleh dijual sehingga anak almarhum (yang dinamakannya) mencapai usia 21 tahun adalah batal dan tidak sah. Ini adalah kerana syarat-syarat ini menyekat para waris memiliki apa yang telah menjadi milik mereka tanpa sebab-sebab yang diakui syarak.

WASIAT BERSYARAT (TAKLIK)

Persoalan ialah mengenai wasiat yang telah dibuat oleh seseorang dan isterinya pada suatu ketika bahawa jika berlaku sesuatu yang tidak diingini semasa keberangkatan mereka ke Makkah menunaikan umrah selama masa yang ditentukan, maka mereka berdua menamakan grant rumah mereka kepada anak perempuan angkat mereka.

Yang membuat wasiat meninggal dunia selepas jangka masa yang disebutkannya. Adakah wasiat tersebut masih berlaku dan rumah tersebut menjadai milik kepada anak angkatnya ?
Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa wasiat itu sudah habis masanya kerena ada taklik yang dibuat. Wasiat itu telah diikatkan dengan terjadinya sesuatu yang tidak diingini semasa umrah dalam jangkamasa yang ditentukan.

Yang membuat wasiat telah meletakkan beberapa ketetapan dan masa sebagai syarat-syarat (taklik) bagi wasiatnya itu mempunyai kesan dan berlaku sah. Ketetapan dan masa yang dinyatakannya itu telah pun berakhir tanpa terjadi syarat-syarat tersebut, maka wasiatnya itu tidak berkesan dan tidak lagi berlaku sah.

HARTA PENINGGALAN DAN WASIAT

Adakah sah wasiat yang dibuat yang menyatakan:

i. balu Allahyarham yang membuat wasiat dilantik sebagai orang yang diamanahkan untuk menguruskan harta peninggalan;

ii. satu pertiga daripada saham perniagaan Allahyarham yang membuat wasiat diberikan kepada balunya;

iii. balu Allahyarham yang membuat wasiat diberi kuasa mutlak untuk membuat keputusan samada hendak meneruskan urusan-urusan perniagaan yang dilakukan oleh Allahyarham semasa hidupnya, seolah-olah si balu adalah pemilik perniagaan tersebut.
Wasiat tersebut tidak sah, kecuali bahagian yang menyatakan bahawa balu Allahyarham dilantik sebagai wasiy. Ini memandangkan Allahyarham seolah-olah hendak mengawal hartanya selepas kematiannya sedangkan beliau tidak berhak melakukan perkara yang sedemikian. Wasiat beliau juga memberikan bahagian harta dan kuasa yang lebih kepada balunya, sedangkan hadis Rasulullah menegaskan:
maksudnya : ” Tidak sah mewasiatkan pusaka kepada waris “.

WASIAT DAN NUZRIYAH

Seseorang telah berwasiat yang harta bendanya hendaklah dibahagikan mengikut hukum syariah Islam menurut mazhab Syafie. Beliau juga telah membuat Nuzriah bahawa segala bahagian yang beliau dapat dan warisi dari almarhum bapanya, beliau nazarkan dan berikan kepada kesemua anak-anak abangnya dengan sama rata.

Adakah wasiat dan nuzriahnya ini sah ?

Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa wasiat dan nuzriah itu adalah sah mengikut hukum Islam mengikut Mazhab Syafie.

SURAT PEMBERIAN SECARA BERNAZAR

Yang bertanya telah membeli sebuah rumah HDB 4 bilik atas nama kedua ibubapanya. Beliau telah membayar segala ongkos rumah tersebut.
Peraturan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak membenarkan seseorang memiliki dua rumah atas nama yang sama dan Yang Bertanya pula bimbang bahawa rumah HDB yang dibeli atas nama kedua ibubapanya akan dituntut oleh adik-beradiknya sebagai harta ibubapanya, maka ia meminta nasihat dari Jawatankuasa Fatwa tentang wasiat yang boleh menjadikan rumah HDB 4 bilik tersebut sebagai miliknya yang sah secara hukum Islam .
Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa cara pihak Yang Bertanya untuk melaksanakan tujuannya ialah dengan membuat surat bernazar.

PEMBERIAN MELALUI NAZAR

Seseorang ada mendapat bahagian dari harta peninggalan suaminya. Beliau bercadang untuk memberikan bahagian tersebut kepada dua orang anak perempuannya. Beliau telah mengangkat sumpah dan membuat wasiat agar bahagian beliau dapat dialihkan kepada kedua orang anak perempuannya itu. Apakah cara agar wasiat itu menjadi sah pada hukum syara¹ ?
Jawatankuasa Fatwa telah memfatwakan bahawa wasiat tersebut boleh dihukumkan sah seandainya ia menggunakan qaedah masalah nuzriyah ( ä_ÑíÉ ) . Kaedah ini bererti bahawa hartanya telah dibahagikan kepada kedua anak perempuannya sebelum ia wafat. rus diedarkan kerana banyak mudaratnya dan tidak ada manfaatnya.

FARAID DAN PERKARA BERKAITAN DENGANNYA

Apakah hukum faraid ? Pada suatu masa lalu, semasa di rumah abang sulong saya, dan dengan kehadiran saya, bapa kami telah memberitahu abang sulong saya bahawa ia telah menganggap bayaran rumah selama lima tahun yang dibayarnya itu sebagai hadiah kepada saya dan suami saya secara hibah. Apakah hukum faraid telah timbul ? Jikalau pada masa akan datang abang sulong saya mendesak bapa saya supaya menarik balik hadiah di atas, apakah hukumnya dalam syarak dan apakah yang harus saya dan suami perlu lakukan?
Faraid ialah kaedah-kaedah dan masalah-masalah yang bersangkut paut dengan pembahagian pusaka dan ahli waris.
Menurut hukum syarak, seseorang itu berhak memberikan hak miliknya kepada orang lain secara hibah. Sesuatu yang telah diberikan dan diterima oleh yang menerima hibah tersebut tidaklah menjadi pusaka si pemberi, maka hukum faraid tidaklah lagi timbul atas pemberian tersebut ketika si pemberi meninggal dunia.
Pemberian bapa kepada anaknya, sebelum selesai urusan pertukaran hak milik, boleh ditarik balik oleh si bapa. Jika pemberian secara hibah itu telah diterima dan dimiliki oleh si penerima, maka ianya tidak boleh ditarik balik dan tetap menjadi hak milik si penerima.

WARISAN MENURUT MAZHAB HANAFI

Bolehkah seorang wanita yang bermazhab Hanafi mewariskan hartanya mengikut Mazhab Hanafi. Wanita tersebut telahpun meninggal dunia?
Harta warisan simati yang bermazhab Hanafi boleh dibahagikan mengikut kaedah Radd sesuai dengan mazhab Hanafi.

PEMBAHAGIAN HARTA ORANG YANG BERMAZHAB SHIAH DAWOODI BOHRA

Apakah pendapat Jawatankuasa Fatwa berkenaan pembahagian harta warisan seorang yang bermazhab Shiah Dawoodi Bohra. Almarhum hanya meninggalkan seorang isteri sebagai waris dan tidak ada sebarang waris lain ?

Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa sesuatu fatwa yang hendak dikeluarkan hendaklah mengikut Mazhab Shafie. Ini adalah mengikut ketetapan undang-undang AMLA bahagian 33 pecahan 1.
Maka mengikut Mazhab Shafie, si isteri mendapat 1/4 bahagian daripada harta tersebut. Ini berpandukan kepada nas al-Quran, surah An- Nisa’ ayat 12, firman Allah:

ertinya: “para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak”. Baki harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal, kerana si mati tidak mempunyai ahli waris yang lain.

Hukum ini walaupun berpandukan pendapat Mazhab Shafie, tidak bertentangan dengan pendapat di dalam Mazhab Shiah. Mengikut pendapat Mazhab Shiah di dalam kitab karangan Sheikh Muhammad bin Hasan juz 17 muka surat 515 :

(Bab bahagian isteri dari harta warisan jika beliau merupakan waris tunggal), kitab tersebut ada meriwayatkan sebuah pendapat seperti berikut:
ertinya :” bagi si isteri 1/4 dan bakinya untuk Imam (Baitulmal) ”

.
SIJIL WARISAN ORANG YANG MENDAKWA TIDAK TERIKAT DENGAN MANA-MANA MAZHAB

Sebuah firma guaman meminta dari Jawatankuasa Fatwa agar menimbang semula Sijil Warisan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Permintaan ini dibuat untuk membolehkan anak guamannya mendapatkan semula harta tersebut dan tidak dimasukkan ke dalam Baitulmal. Pelanggan tersebut mendakwa bahawa dia tidak terikat dengan pendapat Mazhab Shafie.

Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa harta lebihan dari pembahagian waris-waris mestilah diserahkankan kepada Baitulmal. Fatwa ini adalah mengikut ketetapan undang-undang AMLA bahawa sesuatu fatwa yang dikeluarkan hendaklah mengikut Mazhab Shafie.

MEMBAHAGI SAMA RATA HARTA PENINGGALAN

Sebuah firma guaman bertanya mengenai kesahihan wasiat yang dibuat oleh anak guamannya. Almarhum anak guamannya telah mewasiatkan agar harta warisannya dibahagi secara sama rata kepada isteri, anak lelaki (seorang) dan anak perempuannya (seorang). Ini bermakna setiap pihak menerima 1/3 bahagian daripada harta yang ditinggalkan oleh almarhum. Adakah wasiat ini sah ?
Wasiat tersebut adalah tidak sah di sisi syarak kerana tidak menepati hukum faraid sepertimana yang ditentukan oleh Allah di dalam Surah An-Nisa’ ayat 11-12 yang bermaksud:

(11) Allah telah memerintahkan pembahagian pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan bahagian dua orang perempuan . Adapun sekiranya perempuan itu lebih dari dua orang, mereka mendapat dua pertiga (2/3) dari peninggalan (si mati), dan sekiranya perempuan itu seorang sahaja, ia mendapat seperdua (1/2). Dan bahagian dua orang ibu bapanya masing-masing mendapat seperenam (1/6) dari peninggalan itu – ini jika ia mempunyai anak. Adapun sekiranya simati tidak mempunyai anak dan yang mempusakainya hanyalah ibu bapanya sahaja maka ketika itu ibunya mendapat sepertiga. Adapun sekiranya si mati mempunyai saudara, ibunya mendapat seperenam (1/6) – iaitu sesudah dikeluarkan wasiat atau hutangnya. Bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu tiadalah kamu dapat mengetahui siapakah di antara mereka itu yang terlebih hampir manfaatnya kepadamu. Ini suatu ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Bijaksana.

(12) Dan kamu akan mempusakai seperdua dari peninggalan isteri-isteri kamu sekiranya mereka tidak mempunyai anak. Adapun sekiranya mereka mempunyai anak, kamu hanya mendapat seperempat sahaja dari peninggalan mereka – iaitu sesudah dikeluarkan wasiat atau hutangnya. Dan isteri-isteri kamu akan mendapat seperempat dari peninggalan kamu sekiranya kamu tidak mempunyai anak. Adapun sekiranya kamu mempunyai anak, maka isteri-isteri kamu hanya mendapat seperlapan sahaja dari peninggalanmu- iaitu sesudah dikeluarkan untuk wasiat atau hutang kamu. Jika si mati itu lelaki (tidak ada bapa atau anak) ataupun si mati itu perempuan tetapi mempunyai seorang saudara lelaki atau saudara perempuan, maka masing-masing dari keduanya mendapat seperenam. Adapun sekiranya ramai bilangan saudara-saudara seibu, maka bersekutulah mereka mempusakai sepertiga bahagian – iaitu sesudah dibayarkan wasiat atau hutangnya – dengan tidak menyusahkan (kepada ahli waris). Inilah wasiat (perintah) yang ditetapkan oleh Allah, dan Allah Mengetahui lagi Penyantun.
Wasiat tersebut juga dikira tidak sah berdasarkan hadis Rasulullah:

maksudnya: “Tiada wasiat untuk pewaris”.

PEMBAHAGIAN HARTA MENURUT PERSETUJUAN WARIS

Bolehkah harta peninggalan simati dibahagikan sama rata kepada waris-waris dengan persetujuan masing-masing?
Pembahagian harta pada hukum asalnya adalah mengikut hukum faraid. Setiap waris perlu mengetahui bahagian saham masing-masing mengikut hukum Islam. Tetapi sekiranya waris-waris bersetuju untuk membahagi sama rata harta tersebut, maka hukum pembahagian tersebut adalah dibolehkan.

PEMBAHAGIAN PUSAKA – BAHAGIAN IBU

Adik-beradik menjadi mahjub disebabkan adanya bapa, adakah adanya adik-beradik ini mengurangkan bahagian ibu dari sepertiga (1/3) menjadi seperenam (1/6) ? Menurut pembacaan, terdapat dua pendapat dalam masalah serupa ini.

Pertama :
ibu mendapat 1/6, baki peninggalan diberikan kepada bapa.

Kedua :
ibu mendapat 1/3 dan bakinya diberikan kepada bapa ?

Jawatankuasa Fatwa bersetuju bahawa ibu hanya mendapat 1/6 bahagian daripada harta pusaka jika si mati ada meninggalkan adik beradik. Bahagian 1/6 ini tidak berubah samada adik-beradik tersebut mewarisi ataupun tidak. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah AnNisa’ ayat ll:
ertinya: “Jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu-bapanya sahaja, maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat seperenam “.

PEMBAHAGIAN HARTA MENGIKUT FARAID

Pertanyaan yang dikemukakan ialah mengenai pembahagian harta di kalangan sembilan orang adik beradik, terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan. Persoalannya ialah:
i. pembahagian harta warisan di kalangan adik beradik, di mana salah seorang daripada mereka tidak berada di Singapura. Bolehkah pembahagian dijalankan dengan nama beliau tidak termasuk di dalam senarai penerima?
ii. seorang saudara lelaki menolak haknya secara bertulis. Bolehkah haknya itu dipindahkan kepada saudara yang berada di luar Singapura?
iii. seorang ipar mencadangkan agar pembahagian harta dilakukan sama rata. Bolehkah ia dilaksanakan walaupun akan menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan waris-waris yang lain?

Keputusan Jawatankuasa Fatwa adalah seperti berikut:

i. harta berkenaan hendaklah dibahagikan kepada 13 bahagian (asal masalah) bagi kesemua adik beradik. Perkiraannya hendaklah dibuat dengan dimauqufkan (dibekukan) bahagian saudara yang tidak berada di Singapura.
ii. saudara yang menolak haknya itulah yang berhak menentukan siapa yang ia ingin memberikan bahagiannya dari harta berkenaan.
iii. pembahagian harta secara sama rata hanya boleh dilakukan sekiranya kesemua waris bersetuju.

HASIL SEWAAN KEDAI

Yang bertanya menanyakan mengenai hasil kedai yang pernah disewa oleh almarhum ayah beliau semasa hidupnya. Sebelum ayahnya meninggal dunia, kedai tersebut disewakan kepada orang lain atas sebab-sebab kesihatan. Setelah kematiannya pula, hasil sewa kedai diberikan kepada isteri si mati ( iaitu ibu yang bertanya ) dengan izin semua anak-anaknya. Selepas beberapa ketika, pihak berkuasa telah membuat tawaran untuk menjual hak milik kedai tersebut, lalu dibeli oleh abang Yang Bertanya.
Persoalan yang ditimbulkan ialah: adakah hasil sewa kedai selepas kematian ayahnya, dan hasil penjualan kedai yang diperolehi oleh abangnya perlu diagihkan mengikut hukum faraid?
Jawatankuasa Fatwa memutuskan seperti berikut:
i. hasil sewa kedai selepas kematian ayah Yang Bertanya tidak perlu dibahagikan mengikut hukum faraid. Ini berdasarkan keterangan Yang Bertanya bahawa wang sewa tersebut diberikan kepada si ibu dengan izin semua anak-anak..
ii.
iii. hasil penjualan kedai tersebut yang diperolehi oleh abang Yang Bertanya juga tidak perlu dibahagikan mengikut faraid. Ini berdasarkan fakta bahawa almarhum ayah Yang Bertanya hanya menyewa kedai berkenaan semasa hidupnya dan tidak pernah memilikinya. Oleh kerana abang Yang Bertanya yang membelinya kemudian, maka kedai tersebut adalah miliknya dan hasil penjualannya selepas itu juga menjadi haknya.

HIBAH HARTA PENINGGALAN

Seseorang telah meminta fatwa mengenai harta peninggalan ayah mertuanya. Menurut Yang Bertanya, semasa ayah mertuanya itu sedang sakit, beliau telah mengatakan kepada isterinya supaya mengambil kebun yang ada di suatu tempat dan terserahlah kepada si isteri tersebut samada hendak dijual atau sebagainya. Jawatankuasa Fatwa diminta memberikan fatwanya samada si isteri mempunyai hak ke atas tanah kebun tersebut dan samada perkataan yang diucap oleh Allahyarham suaminya itu dikira sebagai wasiat atau pemberian?
Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa sekiranya Allahyarham ada mengaitkan pemilikan tanah tersebut dengan kematiannya, seperti kata-kata “Kalau aku mati nanti”, maka ia adalah wasiat. Di dalam keadaan sedemikian, wasiatnya tidak sah memandangkan si isteri adalah salah seorang waris kepada si mati. Wasiat kepada waris tidak sah hukumnya berdasarkan hadis :
yang bermaksud : ” Tidak ada wasiat bagi waris “.
Sekiranya si mati tidak pula mengaitkan pemilikan harta berkenaan dengan kematiannya, maka ia dikira sebagai pemberian atau. Dalam keadaan ini juga tidak sah pemberiannya kerana ia dibuat dalam keadaan sakit yang membawa maut. Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa tanah tersebut hendaklah dibahagikan kepada waris-waris yang ada mengikut hukum faraid. Si isteri tidak berhak ke atas keseluruhan tanah kebun itu seperti yang dinyatakan, kecuali jika kesemua waris bersetuju beliau memilikinya.

RUMAH YANG DIHADIAHKAN

Seorang telah bertanya mengenai kedudukan rumah flat HDB peninggalan ayahnya. Menurut Yang bertanya, setahun sebelum kematian ayahnya, rumah tersebut dihadiahkan kepada beliau bersama suaminya, dan nama mereka berdua juga telah disertakan di dalam dokumen hakmilik rumah tersebut. Yang bertanya meminta penjelasan samada adik-beradiknya yang lain berhak menuntut sebahagian rumah tersebut berdasarkan hukum faraid ?

Setelah memerhatikan dokumen HDB bagi hakmilik flat yang dipersoalkan, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa nama almarhum ayah Yang Bertanya masih tercatat sebagai salah satu pemilik rumah tersebut, di samping nama Yang Bertanya dan suaminya.

Berdasarkan fakta zahir ini, Jawatankuasa Fatwa memberi pandangan bahawa flat berkenaan tidak seratus peratus menjadi milik Yang Bertanya dan suaminya. Memandangkan almarhum ayah Yang Bertanya adalah salah seorang dari tiga pemilik bersama rumah berkenaan, maka satu pertiga bahagian rumah tersebut merupakan harta peninggalan si mati yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid sekiranya dituntut oleh waris-waris yang layak.

PAMPASAN HARTANAH

Persoalan berkisar di atas wang pampasan bagi pusaka berbentuk hartanah yang dibayar selepas matinya salah seorang waris. Sama ada wang pampasan ini mesti dibahagi menurut hukum faraid ?

Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa wang pampasan bagi hartanah adalah merupakan harta pusaka yang wajib dibahagi menurut hukum faraid. Orang yang tidak mahu menurut hukum faraid adalah berdosa kerana ia mengenepikan penentuan agama Islam. Kalau ia tidak mengakui hukum faraid sebagai hukum Islam ia terkeluar dari agama Islam kerana hukum faraid adalah hukum Allah yang ada dijelaskan di dalam Al-Quran. Orang yang mengambil sesuatu hak orang lain tanpa kerelaan hukumnya adalah haram.

MILIK BERSAMA ( JOINT-TENANCY )

Adakah flat peninggalan yang telah dibeli oleh seseorang dengan bekas isterinya secara “joint tenancy” menjadi milik mutlak kepada bekas isteri ketika bekas suami meninggal dunia ?
Setelah mengkaji kedudukan “joint tenancy”, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa flat tersebut bukanlah harta mutlak milik bekas isteri almarhum. Jawatankuasa Fatwa memfatwakan bahawa bekas isteri kepada yang telah meninggal dunia itu hanya mendapat separuh bahagian ( 50% ) daripada nilai harga rumah tersebut. Bahagian ini diperolehi atas sebab hak beliau sebagai pembeli bersama ( joint-tenants ).

Adapun separuh bahagian yang baki, maka bahagian tersebut adalah untuk waris si mati . Bahagian baki ini tidak boleh diberikan kepada bekas isteri si mati kerana mereka telah bercerai sebelum si suami meninggal dunia. Maka bekas isteri tidak mendapat apa-apa bahagian daripada bahagian baki ini kerana beliau bukan lagi merupakan isteri dan waris kepada si mati.

MILIK BERSAMA ( JOINT TENANCY )

Sepasang suami isteri telah membeli rumah flat HDB atas dua nama sebagai “joint-tenant”. Menurut peraturan HDB, jika salah seorang dari mereka meninggal dunia, rumah tersebut akan menjadi milik pemili bersama yang masih hidup. Apakah hukum Islam dalam perkara ini ?

Jawatankuasa Fatwa membuat keputusan bahawa rumah peninggalan yang dibeli secara “joint-tenancy” tidak boleh menjadi hak milik secara menyeluruh pihak yang masih hidup.
Bahagian milik yang meninggal dunia hendaklah ditaksirkan dengan nilai wang kemudian dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

FIDYAH/KAFFARAH DENGAN NILAI WANG

Adakah boleh dikeluarkan fidyah/kaffarah dengan nilai wang ?

Agama Islam didatangkan adalah untuk menjaga kebaikan manusia dan mencegah dari sebarang kerosakan di bumi Allah ini. Begitu juga ianya bermaksud untuk membina masyarakat yang seimbang daya dan kekuatannya. Yang kuat membantu yang lemah dan yang kaya membantu yang miskin dalam suasana persaudaraan, hormat menghormati dan belas kasihan mengikut panduan Ilahi serta taat kepada suruhanNya.

Orang yang miskin dan yang lemah senantiasa mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam syariat Islam. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

ertinya: “Dapatkanlah saya bagi membantu orang-orang kamu yang lemah, sesungguhnya kamu mendapat bantuan Ilahi dan mendapat rezeki disebabkan adanya bantuan kamu kepada orang-orang kamu yang lemah”.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan betapa besarnya kedudukan orang yang membantu para janda dan miskin dengan sabdanya:

ertinya : ” Orang yang berusaha untuk membantu janda-janda dan orang-orang miskin adalah seumpama orang yang berjihad pada jalan Allah” .

Islam mewajibkan setiap Muslim berusaha untuk mendapatkan rezekinya dengan bekerja supaya tidak menjadi beban kepada orang lain, tetapi jika seseorang itu tidak mampu bekerja maka pihak negara atau masyarakat Islam wajib membantu orang yang dalam kesusahan ini. Al-Quran telah menentukan bahawa orang-orang yang tidak berkemampuan mempunyai hak pada harta orang-orang yang kaya dan hak ini diambil dari si kaya berpandukan hukum Islam. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan kebaikan orang-orang Mukminin:

ertinya: ” Mereka yang tetap mendirikan sembahyang. Dan orang-orang yang (menetapkan) dalam hartanya peruntukan yang tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa ” .

Penentuan yang dibuat pada harta orang-orang kaya ini menjadi hak orang-orang miskin. Wajib atas si kaya mengeluarkannya. Jika ia enggan mengeluarkannya dengan sukarela maka Islam membolehkan pihak yang berwajib mengambilnya dengan paksa.

Selain dari zakat wajib dan sedekah biasa, terdapat dalam syariat Islam suatu hukum yang dinamakan fidyah/kaffarah. Iaitu denda-denda yang dikenakan atas mereka yang melanggar hukum sesuatu ibadat sebagai penebus dosa dan menjadi sedekah kepada fakir miskin. Umpamanya orang yang batal puasanya kerana bersetubuh dengan isterinya pada siang Ramadan maka wajib atasnya memerdekakan hamba, dalam keadaan tiada hamba, ia mesti berpuasa dua bulan berturut-turut. Jika ia tidak mampu maka wajib atasnya memberi makan 60 orang fakir miskin. Begitu juga hukumnya bagi seseorang yang melanggar hukum zihar ( 􌂄 ) . Ada lagi beberapa kaffarah atau fidyah yang cara menebusnya adalah dengan memberi makan kepada fakir miskin.

Begitulah kita dapati syariat Islam menjadikan pembelaan fakir miskin dengan memastikan mereka mendapat makanan menerusi denda-denda dari mereka yang melanggar hukum dan juga menjadi penebus dosa atau penolak kecuaian. Dikatakan bahawa sedekah memadam dosa selagi ianya tidak merampas hak orang Muslim lain. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda:

ertinya: “Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api”.
Kalaulah maksiat itu dari jenis merampas atau menganiaya hak orang Muslim lain maka dosa itu tidak boleh dipadam dengan fidyah atau kaffarah bahkan wajib dikembalikan semula hak orang itu.
Dengan demikian nyatalah bahawa Islam mewajibkan fidyah/kaffarah ini sebagai satu jalan bagi membela fakir miskin. Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menyatakan tidak sah atau tidak harus mengeluarkan zakat fitrah, fidyah atau kaffarah dengan nilai (wang ) kerana tidak ada nas yang menyatakannya. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dibolehkan bahkan dihukumkan sebagai lebih baik lagi kerana ianya membolehkan si fakir miskin membeli keperluan-keperluannya. Memandangkan bahawa si fakir miskin itu mungkin tidak memerlukan kepada makanan, tetapi keperluannya lebih kepada pakaian atau barangbarang lain. Sedang memberinya makanan berlebihan mungkin membuatnya terpaksa menjual pula dengan harga yang murah jauh dari harga yang sepatutnya dan tentu sekali itu akan merugikannya terutama sekali jika jenis makanan itu banyak di pasaran. Andaikata yang menjadi keperluan itu adalah makanan maka memberi makan adalah lebih afdhal.

Memandangkan bahawa asal nas dari al-Quran dan al-Hadis yang pada dasarnya bermaksud supaya fakir miskin itu wajib dibela nasib mereka, dan jika diberi pilihan mereka lebih suka kepada nilai wang dari makanan yang sudah banyak diterimanya, Jawatankuasa Fatwa memutuskan ada keharusan mengambil pendapat Imam Hanafi dalam masalah ini dan memfatwakan bahawa fidyah/kaffarah dengan nilai ( wang ) dibolehkan mengikut keadaan masa demi mensesuaikan pembelaan fakir miskin itu sendiri.

ISU PENJUALAN DAGING KORBAN

Pertanyaan yang diajukan adalah mengenai daging korban yang dikatakan terbuang kerana tidak diambil kesemuanya oleh orang-orang miskin. Yang bertanya mencadangkan supaya daging-daging yang berlebihan itu dijual dan hasilnya disalurkan kepada fakir miskin.

Saranan yang diutarakan itu tidak dapat diterima kerana pada dasarnya daging korban tidak boleh dijual. Ini berdasarkan hadis Rasulullah:

ertinya : “Aku pernah melarang kamu dari memakan daging-daging korban lebih dari tiga hari, dan sekarang aku menghalalkannya untuk kamu maka makanlah (daging korban itu) mengikut kehendak kamu. Dan janganlah kamu jual daging-daging hadiah/dam (yang disembelih oleh orang yang mengerjakan haji) dan daging-daging korban. Makanlah, bersedekahlah dan manfaatkanlah kulit-kulitnya dan janganlah kamu menjualnya. Sekiranya kamu ada memberikan daging-dagingnya (kepada orang lain) sebagai makanan maka kamu makanlah pula sebagaimana yang kamu inginkan”.

Larangan menjual daging korban ini adalah terhadap orang yang melakukan ibadah korban itu sendiri. Oleh kerana pihak masjid atau pertubuhan yang menganjurkan ibadah korban diupah dan diamanahkan sebagai wakil kepada orang yang ingin berkorban itu, maka pihak masjid atau pertubuhan juga dilarang daripada menjual daging tersebut. Akan tetapi, orang miskin dan sesiapa sahaja yang telah menerima daging korban tersebut dibolehkan menjualnya.

URUSAN JUAL-BELI EMAS SECARA BERHUTANG

Apakah hukum membeli emas dengan cara berhutang (bayaran dibuat secara ansuran dengan dikenakan faedah)?

Asal hukum jual beli emas dengan emas dengan penambahan dari satu pihak adalah haram. Berdasarkan hadis Rasulullah:

ertinya: ” Janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali dengan harga yang sama, dan janganlah kamu tambah sebahagiannya kepada sebahagian yang lain. Dan juga janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali dengan harga yang sama, dan janganlah kamu tambah sebahagiannya kepada sebahagian yang lain “.

Walaubagaimanapun, memandangkan keperluan dan keadaan semasa, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa jual beli emas seperti yang diutarakan boleh diterima oleh Islam dengan syarat tidak disebut atau dilafazkan di dalam aqadnya. Ini seumpama bertukar-tukar barang.

HUTANG ANAK KEPADA BAPANYA DAN WANG SIMPANAN SI BAPA DALAM BANK SIMPANAN PEJABAT POS

Adakah hutang seorang anak kepada bapanya di kira sebagai sebahagian daripada pusaka si bapa ketika ia meningal dunia ? Apakah hukum wang simpanannya dalam Bank Simpanan Pejabat Pos ?

Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa wang yang dihutangkan oleh seseorang bapa kepada anaknya adalah menjadi harta pusaka yang wajib dibahagikan mengikut hukum faraid setelah si bapa itu meninggal dunia – walaupun si bapa pernah menyatakan ketika masa hidupnya bahawa ia menghalalkan wang tersebut sekiranya ia meninggal dunia. Ini kerana apa yang dikatakan oleh si bapa itu tidak dapat dikira sebagai wasiat yang sah kerana menurut hukum syarak, wasiat kepada waris adalah tidak sah.
Jawatankuasa Fatwa juga memutuskan bahawa wang simpanan POSB almarhum si bapa adalah menjadi harta pusaka yang wajib dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

HUTANG

Seseorang telah meminjamkan wangnya kepada seorang sahabatnya. Sahabatnya itu pula tidak dapat menjelaskan hutangnya itu. Yang bertanya ingin mengetahui samada bolehkah ia menghalalkan hutang sahabatnya itu kepadanya dan menganggap wang yang dihalalkannya itu sebagai ia mengeluarkan zakat hartanya ?

Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa harta zakat mengikut penentuan agama hendaklah diagih-agihkan kepada lapan asnaf. Jika tidak ada semuanya, hendaklah diberikan kepada sesiapa yang ada, dan sekurang-kurangnya tiga orang dari satu asnaf. Oleh itu, pemberian sebagaimana yang digambarkan oleh yang bertanya itu dengan memberikan zakatnya kepada seorang yang berhutang kepadanya tidaklah menepati dengan peraturan pengagihan zakat.

ISU PEMBAKARAN BABI DI PUSAT-PUSAT PEMBAKARAN SAMPAH

Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa mengenai proses pembakaran babi di pusat-pusat pembakaran sampah. Bagaimanakah hukum Islam terhadap perkara ini?

Menurut hukum Islam, mengotorkan diri dengan najis dan berterusan di dalam keadaan demikian tanpa tujuan yang munasabah adalah terlarang. Bagaimanapun, mengenai soalan yang diajukan, maka Jawatankuasa Fatwa bersetuju bahawa tidak terdapat halangan syara’ untuk orang Islam bekerja di tempat pembakaran sampah walaupun dari masa ke semasa perlu menyentuh najis berat seperti bangkai atau sisa-sisa babi.

Biarpun sekiranya pekerja-pekerja Islam masih diperlukan untuk tugas-tugas yang mana mereka terpaksa menyentuh najis babi, maka pihak yang berkenaan diminta menyediakan fasilitas dan kemudahan yang diperlukan untuk mereka mensucikan diri. Fasilitas yang perlu disediakan ialah tempat membersihkan diri yang sesuai, dengan bekalan tanah yang bersih yang diperlukan untuk mensucikan diri.

WANG FAEDAH BAGI BAYARAN KEPADA AKITEK

Bolehkah pihak Lembaga Pentadbir Masjid menggunakan wang faedah bagi menjelaskan pembayaran yang dituntut oleh pihak arkitek sebagai pembayaran bagi penyerahan dokumen-dokumen seperti pelan masjid yang ada pada mereka ?
Hukumnya adalah harus bagi pihak Lembaga Pentadbir Masjid menggunakan wang faedah yang diterima dari bank bagi menjelaskan pembayaran yang dituntut oleh akitek tersebut.

INSURANS KEBAKARAN DAN KEMBARA UNTUK MASJID

Bolehkah pihak masjid membeli premium kebakaran dari sebuah syarikat insuran kooperatif untuk melindungi kelengkapan masjid dari terbakar? Bagaimanapula hukumnya ura-ura pihak masjid untuk membeli premium kembara dari syarikat itu bila berlayar keluar negeri?

Hukumnya adalah harus bagi masjid membeli premium kebakaran dari syarikat tersebut untuk melindungi kelengkapan masjid daripada terbakar.

Berhubung premium kembara pula, tidak semestinya pihak masjid membeli premium kembara ini. Malahan tidak harus diambil wang bayaran premium kembara ini dari wang masjid oleh kerana ia bukan untuk maslahat masjid.

%d bloggers like this: