Fatwa MUIS 2

23. MENAMAKAN BAYI

Saya mungkin dikurniakan oleh Allah seorang cahaya mata. Saya harap dapat tuan menerangkan sesuatu amalan yang baik bagi saya membuatnya serta nama-nama yang sesuai dari pandangan Islam untuk saya menamakan anak saya itu.

Sunnat bagi orang yang mendapat anak, membuat aqiqah untuk anaknya itu sebagai tanda syukur kepada Allah yang telah mengurniakannya zuriat iaitu dengan menyembelih 2 ekor kambing jika anak lelaki dan seekor kambing jika anak perempuan. Amalan ini sunnat dibuat ketika anak itu berumur antara 7 hingga 40 hari dan dibahagi-bahagikan daging itu kepada fakir miskin setelah dimasak. Anak itu bolehlah dinamakan pada hari itu dengan nama yang baik (yang mempunyai makna baik) kerana Rasulullah telah berpesan kepada sahabatnya supaya menamakan anak-anak mereka dengan nama yang baik. Sebaik-baik nama bagi lelaki adalah Abdullah kemudian Abdur Rahman, atau nama-nama yang mempunyai erti hamba kepada Allah seperti Abdur Rahim, Abdul Karim atau yang dimulakan dengan Abdul diikuti dengan nama dari nama-nama Allah. Selain dari itu nama Muhammad, Ahmad, Mahmud atau yang mempunyai erti pujian – seterusnya nama yang mempunyai erti yang baik. Dan makruh menamakan dengan nama yang buruk seperti Himar, Baghal, Ular. Dan haram menamakan dengan nama Abdun Nabi, Abdul Kaabah, Abdul Husain dan sebagainya, kerana ia memberi makna seolah-olah mempunyai perkongsian perhambaan dengan Allah. Begitu juga haram menamakan anak dengan gelaran-gelaran yang khusus bagi Nabi Muhammad, seperti nama Abil Qasim dan Khairilanam yang pengertiannya (sebaik-baik orang di dunia). Nama ini tidak sesuai bagi orang selain Nabi Muhammad Rasulullah saw. Jika anak saudara itu anak perempuan sesuai dinamakan dengan nama isteri Nabi, atau apa sahaja yang mempunyai erti yang baik seperti Karimah, Salmah, Rahmah atau sebagainya.

24. MERANCANG KELUARGA

Apakah pandangan Islam tentang merancang keluarga?
Ugama Islam sangat menggalakkan penganutnya hidup berkelamin. Bagi lelaki yang tidak mampu, digalakkan supaya berpuasa kerana perkahwinan itu adalah untuk menyambung jenis manusia di bumi ini dan untuk memakmurkannya. Di antara faedah berkahwin juga adalah untuk mendapat zuriat dan membina keluarga dan menguatkan sesuatu umat saling bantu-membantu dalam kehidupannya sehari-hari.
Rasulullah saw juga telah melarang umat Islam membujang sebaliknya sangat menggalakkan berkahwin sebagaimana sabdanya menegaskan:

1. “Berkahwinlah kami dengan perempuan yang berbaka banyak anak kerana saya akan bermegah
dengan kamu di hari kiamat kelak dengan banyak umat.”

2. “Hidup berkelamin adalah cara hidupku, sesiapa yang tidak suka dengan cara hidupku bukanlah
daripada golongan umatku.”

Tetapi pada masa kebelakangan ini perkara-perkara tentang terlalu ramainya penduduk dunia telah banyak menjadi perbincangan pihak berkenaan beberapa negara kerana telah menjadi masalah-masalah yang menggugat pembahagian kerja, perumahan, persekolahan dan lain-lain hal yang bersangkutan dengan kehidupan manusia. Islam sebagai satu ugama yang benar dan yang sesuai setiap tempat dan masa, ugama yang membina dan tidak kolot, sentiasa memberikan Nur dan Cahayanya kepada penganut-penganutnya dengan penuh tanggungjawab serta menjamin kebahagiaan rohani dan jasmani. Di dalam perkahwinan memang banyak ayat-ayat dan Hadis-hadis yang menggalakkan orang Islam supaya berkahwin terutama kepada muda-mudinya, ini supaya jangan tercebur ke dalam kezinaan atau godaan syahwat atau supaya terselamat daripada godaan syaitan. Selain dari itu perkahwinan juga mempunyai tujuan tinggi di dalam kehidupan.

Di dalam masalah MERANCANG KELUARGA dan perkara mengawal beranak adalah satu perkara yang pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad saw. Pada zaman itu ada beberapa sahabat yang merancang keluarga dengan cara yang dinamakan “Azal” iaitu dengan cara mengeluarkan air mani di luar rahim perempuan (mencabut) untuk mengelakkan beranak. Dan perkara ini telah ditanyakan kepada Rasulullah saw tetapi Baginda telah tidak melarangnya dan tidak pula menggalakkannya kerana memang tujuan asal dari perkahwinan itu ialah supaya seseorang itu mempunyai zuriat atau cahayamata. Dari Hadis ini difahamkan bahawa “Azal” itu untuk menjarakkan beranak adalah harus. Dari sepotong ayat di Juz 2 Surah Al-Baqarah ayat 233 yang maksudnya, “Ibu-ibu itu menyusu anak-anaknya 2 tahun genap bagi orang-orang yang menghendaki menyempurnakan susuan.” Ayat ini difahamkan juga bahawa kesempurnaan susuan anak itu yang boleh membawa kepada kesihatan yang baik kepada anak adalah dengan susuan yang berpanjang 2 tahun.

Ulama Fiqih telah memberi pendapat bahawa: “Bersatu dengan isteri yang masih menyusukan anak yang boleh membuat isteri itu mengandung lagi sangat tidak digalakkan. Kerana ditakuti hamilnya itu akan memberi mudarat kepada kesihatan anak yang sedang disusukan maka itu dilarang pula.” Dari ini difahamkan juga bahawa Islam mengalakkan kita menjaga bayi-bayi kita dari kelemahan badan bahkan disuruh menjaga anak-anak itu supaya menjadi kuat dan sihat. Tentu sekali tidak dapat dijaga dengan baik melainkan dengan menjarakkan beranak sekurang-kurangnya 2 tahun.

Hadis Nabi menerangkan, “Bahawa Rasulullah saw melarang seorang suami itu berasal (mencabut) waktu air (mani) sedang hendak keluar melainkan dengan keizinan isterinya yang merdeka itu.”
Kerana persatuan antara suami isteri ini tidak akan memberi kepuasan dan bererti terzalim satu pihak di dalam hubungan ini. Tetapi jika dengan memakai alat-alat moden akan tidak terjadi perbuatan “Azal” ini (adalah lebih baik). Dari keterangan-keterangan tadi tetap dapat difahamkan bahawa Islam lebih mementingkan kualiti dari kuantiti. Dan Ulama-ulama telah berpendapat bahawa merancang keluarga dengan memakan ubat pil atau cara-cara lain yang menahan hamil untuk SEMENTARA dengan cara-cara yang ada sekarang ini tidaklah HARAM tetapi ianya HARUS (Mubah) selagi cara-cara itu tidak memberi mudarat kepada kesihatan orang yang memakainya dan tidak pula ia menahankan beranak sama sekali, tetapi seseorang itu dapat merancang dan menyusunkan keluarganya dengan sempurna dan teratur.

25. BAYI TABUNG UJI

Apakah pandangan Islam tentang bayi tabung uji?
Cara-cara yang boleh tergambar dalam penyemaian benih dalam tabung uji pada masa ini ada tujuh cara:
1. Disemaikan antara benih si suami dengan telur yang diambil dari seorang perempuan yang
bukan isteri kepada lelaki itu kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
2. Disemaikan antara benih seorang lelaki (bukan suami) dengan telur si isteri kemudian dimasukkan
semaian itu ke dalam rahim si isteri.
3. Disemaikan benih si suami dengan telur si isteri kemudian dimasukkan semaian itu ke dalam rahim
seorang perempuan lain yang bersetuju untuk mengandung (hamil) dengannya.
4. Disemaikan antara benih seorang lelaki (asing) dengan telur perempuan asing juga kemudian
dimasukkan semaian itu ke dalam rahim si isteri.
5. Disemaikan benih dengan telur dari sepasang suami isteri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri
keduanya.
6. Diambil benih dari si suami dan telur si isteri dan disemai di tabung uji kemudian dimasukkan ke
dalam rahim isteri.
7. Diambil benih si suami kemudian disuntikkan di tempat yang sesuai dalam rahim isterinya sebagai
semaian dari dalam.

Cara-cara yang pertama sehingga yang kelima adalah haram kesemuanya dan terlarang di sisi agama Islam kerana kesannya boleh merosakkan perhubungan halal serta mencampuradukkan keutuhan keturunan. Cara yang ke-6 dan yang ke-7 adalah dibolehkan. Seseorang Islam yang ingin mendapat anak boleh berusaha untuk mendapatkannya tetapi hendaklah ia pastikan dan berjaga-jaga supaya tidak melakukan sesuatu yang lain daripadanya.

26. PENGGUGURAN ANAK

Apakah pandangan Islam tentang pengguguran anak?

Para ulama bersependapat bahawa pengguguran anak selepas 4 bulan hukumnya adalah haram, bahkan ia merupakan satu perbuatan jenayah. Perbuatan ini merupakan suatu pembunuhan ke atas makhluk hidup yang telah cukup sifat dan nyata hidupnya. Oleh itu umat Islam sama sekali ditegah dari melakukannya. Kecuali pengguguran itu terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan nyawa di ibu tersebut.

Pengguguran sebelum 4 bulan pula, para ulama tidak bersependapat. Ini disebabkan terdapat perselisihan sama ada kandungan itu telah hidup atau sebaliknya. Sebahagian besar ulama cenderung kepada menyatakan bahawa kandungan itu sudah hidup bersandarkan kepada ilmu perubatan. Berasaskan hal ini mereka menghukumkan pengguguran benih itu sebagai haram.

Memandangkan kepada kenyataan ilmu perubatan bahawa janin itu sudah hidup sejak pencantuman benih lelaki dan perempuan, maka jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa hukum pengguguran anak dalam kandungan adalah haram, tidak kira umur benih dalam kandungan.

27. ANAK ANGKAT DAN ANAK LUAR NIKAH

Apakah pandangan Islam tentang anak angkat dan anak luar nikah?
Menurut Islam, mengambil anak angkat dan memeliharanya adalah harus, tetapi mengakuinya sebagai anak sendiri dengan dibinkan atau dibintikan anak itu kepada si ayah angkat adalah haram. Firman Allah swt menerusi Surah Al-Ahzab ayat 4 dan 5:

“Dan Allah tiada menjadikan anak angkatmu itu menjadi anakmu. Panggillah mereka menurut nama bapanya; hal itu lebih adil di sisi Allah. Kalau kamu tiada mengetahui bapanya, maka mereka itu menjadi saudara kamu dalam Islam dan menjadi anak angkat.”

Rasulullah saw bersabda menerusi Hadisnya yang bermaksud: “Orang-orang yang berbin/binti kepada orang yang bukan bapanya yang sebenar maka ia dilaknati oleh Allah.”

Dalam sebuah Hadis yang lain: “Orang-orang yang berbin/bintikan orang yang bukan bapanya yang sebenarnya maka ia telah menepah tempat duduknya di dalam neraka.”
Ayat dan Hadis tersebut telah menyokong bahawa perbuatan membin dan membintikan kepada seseorang yang bukan ayahnya adalah haram.

Menurut hukum Islam, anak luar nikah itu, sama ada lelaki atau perempuan, bukanlah menjadi waris lelaki yang menyebab kelahirannya: bahkan adalah asing terhadapnya. Jika anak itu perempuan, maka lelaki yang menyebabkan kelahirannya itu bukanlah walinya dalam perkahwinan anak itu.

Orang-orang Islam yang mengambil anak angkat dinasihatkan supaya membin atau membintikan anak angkatnya itu dengan nama bapanya yang sebenar jika bapanya yang sebenar itu beragama Islam atau membin/membintikannya dengan Abdullah sekiranya anak angkatnya itu bukan berasal dari orang Islam.
Anak luar nikah pula haruslah dibin/bintikan Abdullah dengan tujuan mengelakkan kekeliruan pernikahan dan juga berkenaan dengan pembahagian harta pusaka serta memudahkan urusan pentadbiran.

Anak angkat tidak boleh menerima pusaka dari bapa angkatnya; dan anak luar nikah tidak boleh menerima pusaka dari lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

Sekiranya bapa angkat itu hendak memberikan sebahagian daripada hartanya kepada anak angkatnya maka hendaklah ia membuat wasiat menguntukkan tidak lebih dari 1/3 (sepertiga) bahagian harta peninggalannya bagi anak angkatnya itu. Sama juga kedudukannya dengan anak luar nikah.

28. TUKAR NAMA BAPA KEPADA NAMA SUAMI

Apakah hukumnya seorang isteri mendampingkan namanya dengan nama suaminya, menggantikan nama bapanya misalnya Salmah Kassim (Kassim nama suaminya) pada hal nama bapanya Ahmad.

Menukar nama bapa kepada nama suami pada setengah-setengah wanita (modern) kita adalah meniru kebiasaan orang-orang bukan Islam. Agama Islam tidak mengakui amalan seseorang wanita menukar nama bintinya kepada nama suaminya.

Menurut pandangan Islam, seseorang anak perempuan yang telah bersuami adalah tidak dibolehkan menukar nama bintinya kepada nama suaminya kerana perbuatan ini tidak diakui oleh agama Islam. Penukaran nama itu adalah sama dengan menafi dan memutuskan perhubungan keluarga antara anak dengan ibu bapanya.
Perbuatan itu juga dianggap oleh Islam sebagai melucutkan keperibadian diri si anak itu sendiri daripada seorang yang bebas dan mempunyai hak penuh atas dirinya pada masa belum kahwin, menjadi seorang yang kurang sempurna keperibadiannya setelah berkahwin. Di samping itu, perbuatan itu menunjukan seolah-olah wanita itu telah menjadi hak milik suaminya dan melucutkan hak ayahnya ke atas dirinya; sehingga ia membuang nama binti bapanya (famili) yang telah mendidik dan memeliharanya sejak kecil lagi.

Jika perbuatan itu dilakukan kerana hendak meniru cara barat, maka ia juga tidak diakui oleh Islam. Apa yang diharuskan oleh Islam dalam hal menukar nama hanya jika seseorang itu telah dinamakan oleh ibu bapanya dengan nama yang tidak sesuai, umpamanya ia dinamakan dengan nama Nabiullah (Nabi Allah). Nama Nabiullah itu wajiblah ditukar dengan nama yang sesuai sebagai pembetulan terhadap kesalahan bukan kerana sebab-sebab yang lain.

Hadis riwayat Al-Hakim daripada Ibnu Abbas dalam kitab Al-Jame’ Al Saghir oleh Suyuti, telah menegaskan kesalahan perbuatan itu dengan sabda Rasulullah, yang maksudnya: “Kamu akan mengikut jalan orang-orang yang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga (apabila) seseorang dari mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu memasukinya dan jika seseorang dari mereka bersatu dengan isterinya di tepi jalan (pun) nescaya kamu juga akan melakukannya (juga).”

29. MENYAMBUT HARI RAYA HAJI MENGIKUT MEKAH

Kenapakah tidak boleh kita menyambut Hari Raya Haji (Aidiladha) mengikut Makkah?

Hari Raya Haji (Aidiladha) bukanlah satu hari perayaan sosial atau sebagainya bahkan ia adalah satu hari keagamaan dan berkaitan dengan amal ibadat dan sembahyang bagi orang-orang Islam. Semua amal ibadat dan sembahyang mempunyai waktunya masing-masing dan akan berlainan mengikut kedudukan tiap negara dengan masanya.

Kita sedia maklum bahawa dunia kita ini bulat, ketika timur jauh berada pada waktu pagi, timur tengah baru masuk tengah malam. Di barat pula ada yang masih petang dan ada yang masih dalam hari yang lain pula. Oleh kerana kita berada di timur Makkah dengan jarak masa 5 jam, jika mengikut rukyah atau hisab, anak bulan qamariah itu tidak ada, yakni posisi (kedudukan) di mana negara kita berada belum lagi masuk dalam bulan taqwim itu. Maka amal ibadat dan yang bersangkut-paut dengannya belum masuk waktunya atau belum boleh diamalkan. Tetapi bagi negara-negara yang berada di barat Makkah jika telah dipastikan thabit anak bulan taqwim, maka semua negara itu tertakluk dengan penentuan dari Makkah.

Susunan seperti ini adalah yang terpakai oleh ulama-ulama Fiqh sejak berkurun-kurun dan setahu saya tidak terdapat di mana-mana kitab Fiqh pun yang membolehkan kita (di timur dan negara berlainan masa) mengikut penentuan Makkah.

30. BERSELAWAT KE ATAS NABI

Suruhan supaya berselawat ke atas Nabi, ada tersebut di dalam Quran. Apakah dalil suruhan berselawat kepada keluarga Nabi?

Dalil berselawat kepada keluarga Nabi ialah berdasarkan kepada Hadis Nabi yang ertinya: Dari Abi Mas’ud Al-Ansari r.a. bahawasanya ia telah berkata: Bahawa kami telah didatangi Rasulullah saw sedang kami di dalam satu majlis Sa’ad bin Ubadah maka berkata Bashir bin Saad, “Kita telah disuruh berselawat atas kamu wahai Rasulullah, bagaimanakah cara kami berselawat?” Maka Rasulullah saw berdiam sehingga kami terasa semacam kesal kalau-kalau soalan itu telah mengganggunya. Kemudian Rasulullah pun berkata “Katakanlah, Allahumma salli ala Muhammadin waala aali Muhammad kama sallaita ala Ibrahim wa’ala aali Ibrahim. Wa barik ala Muhammad wa ala aali Muhammad kama barakta ala Ibrahim wa ala aali Ibrahim, innaka hamidum majid. Hadis riwayat Abu Hatim bin Habban dan Al-Hakim bin Abdullah, Darul Qutni dan Baihaqi.

31. MAKANAN MASAKAN OLEH ORANG-ORANG BUKAN ISLAM

Adakah halal makanan-makanan yang dimasak oleh orang-orang bukan Islam?

Pada asasnya masakan orang yang bukan Islam adalah harus dimakan, kecuali jika masakan itu jenis yang diharamkan seperti daging yang tidak disembelih secara halal atau tempat-tempat, bekas seperti pisaunya, dan pinggan-pinggannya bekas babi yang tidak dibasuh dengan cara yang boleh menghilangkan najis itu atau digoreng dalam bekas-bekas seperti kuali atau periok yang ada minyak babi. Jika hal-hal seperti ini berlaku, maka hukumnya adalah haram.

32. KEDAI MAKAN BUKAN ISLAM

Saya dan juga kawan-kawan saya mengharapkan agar dapat kiranya tuan memberikan penjelasan mengenai kedai-kedai makan bukan Islam. Adakah makanan yang dijual itu halal dimakan bagi orang-orang Islam?

Ketahuilah bahawa kedai-kedai makan kepunyaan orang bukan Islam yang menjual makanan ayam goreng, daging dan lain-lain, jika tidak mempunyai surat pengakuan dari MUIS maka kedai-kedai itu belum dapat pengakuan sebagai menjual makanan halal, sekalipun pekerja-pekerjanya terdiri daripada pemuda-pemudi Islam.

33. MUSABAQAH AL-QURAN

Apakah hukum Musabaqah Al-Quran sepertimana yang diadakan di Malaysia dan Singapura?

Tujuan mengadakan Musabaqah seperti itu adalah untuk menggalakkan orang ramai supaya memperbaiki bacaan Al-Quran selain dari menguatkan silaturrahim antara masyarakat Islam antarabangsa dalam memperingati Nuzul Al-Quran. Selagi pelaksanaannya tidak bertentangan dengan ajaran Islam, maka hukumnya harus; begitu juga hadiah kewangan yang diberikan kepada pemenang-pemenangnya.

34. BEKERJA DI TEMPAT MINUMAN KERAS

Seorang Islam bekerja di tempat membuat minuman keras. Apakah hukumnya dari segi agama Islam bekerja dan berpendapatan dari sumber itu?

Bekerja di tempat minuman keras adalah haram, dengan dalil Hadis yang ertinya:
Daripada Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Allah melaknati arak, peminumannya, yang memberi orang minum arak, penjual arak, pembeli arak, pemakan duit dari hasil menjual arak, pemerah untuk membuat arak, yang meminta orang lain supaya membuatkan arak baginya, yang mengangkat arak dan yang meminta arak supaya dibawakan kepadanya.” Dari itu orang Islam yang berkenaan, patutlah berusaha mencari kerja lain.

35. MENGANGKAT KOTAK BERISI ARAK

Kami mempunyai pekerja-pekerja buruh kasar yang beragama Islam. Kerja mereka adalah memunggah barang-barang dari gudang-gudang kami ke tempat lain. Sebahagian daripada mereka enggan mengangkat kotak-kotak yang berisi arak dengan alasan perbuatan itu dilarang oleh agama. Apakah itu benar? Harap berikan nasihat tuan.

Pekerja-pekerja pelabuhan atau gudang-gudang yang bekerja sebagai pemunggah barang-barang dan memindahkannya dari satu tempat ke satu tempat lain, termasuk kotak-kotak yang berisi arak, pekerjaan mereka itu adalah harus kerana mereka tidaklah bermaksud untuk mengedar arak kepada peminum-peminumnya bahkan sebagai pekerja buruh yang mengharapkan upah/gaji dari pekerjaannya tidak ada sangkut-paut dengan peminum arak atau mengedarkannya.

Dosa arak yang dimaksudkan dalam hadis nabi tertumpu kepada mereka yang berbuat pekerjaan itu dengan penuh kerelaan dan dengan niat memberikannya kepada peminum arak. Orang-orang yang bekerja sebagai buruh di tempat itu tidak termasuk dalam kerja-kerja yang terlarang dari segi undang-undang Islam.

36. TIDAK MENGERJAKAN SEMBAHYANG

Sahabat saya adalah seorang yang sangat murah hati dan suka menolong orang, tetapi sangat berat tentang mengerjakan sembahyang. Apakah pandangan Islam bagi orang yang seperti ini?

Sembahyang adalah satu dari rukun Islam yang lima dan menjadi kewajipan utama bagi orang Islam mengerjakannya. Oleh sebab besarnya kedudukan sembahyang, ia menjadi tanda perbezaan antara orang-orang Islam dengan orang kafir.

Tentang amalan kebajikan yang dibuat oleh kawan saudara itu adalah seperkara yang baik dan tetap ada pahala baginya kerana Allah tidak akan mensia-siakan pahala dari pekerjaan baik yang dibuat oleh seseorang itu. Tetapi walau bagaimana besar pun amal kebajikan itu, perbuatan dan pahalanya tidak boleh mengatasi amalan dan pahala sembahyang, atau dapat menggantikan kewajipan sembahyang. Amalannya itu adalah sebagai mengerjakan kerja-kerja yang sunat yang sangat digalakkan oleh agama, sedangkan sembahyang adalah suatu kewajipan dasar yang tidak boleh ditinggalkan. Barangsiapa meninggalkannya adalah menderhaka kepada Allah dan akan dijatuhkan balasan buruk ke atasnya.

37. IDAH

Seorang perempuan telah ditinggalkan oleh suaminya selama 2 tahun. Kemudian ia diceraikan oleh suaminya dengan talak tiga. Oleh kerana tidak bercampur dengan suaminya selama 2 tahun itu. Apakah wajib perempuan itu beridah lagi?

Ya, wajib atasnya idah selama 3 kali suci dari haid. Kalau perempuan itu sudah putus haid, idahnya adalah selama 3 bulan. Ini adalah dari perintah dasar Al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 228 yang ertinya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan oleh suaminya (ditalaknya) hendaklah ia menunggu hingga 3 quruk (3 kali bersuci dari haid), (sebelum boleh ia berkahwin lagi).” Dari itu perempuan yang dimaksudkan itu wajib atasnya idah sekalipun ianya telah 2 tahun berpisah dengan suaminya, dan diceraikan dengan talak 3 kerana hukum idah ini bermula dari ia hari diceraikan.

38. MURTAD

Tujuh tahun dahulu saya pernah tertarik hati kepada seorang gadis Tionghua yang beragama Kristian. Saya sungguh-sungguh ingin menikahi gadis itu tetapi dia berbelah bahagi untuk memeluk agama Islam. Oleh kerana mengasihi dia, saya telah terlupa kepada Allah dan secara tidak sengaja saya telah berniat dan berkata di dalam hati saya jika dia tidak sudi memeluk agama suci Allah biarlah saya saja yang menyerah kalah dengan mengikut agamanya. Saya terperanjat kerana niat yang demikian ada di dalam hati saya. Saya terus beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadat dan saya bertaubat nasuha. Saya telah jauhkan diri saya daripada gadis itu dan terus menjalan perintah Allah.

Saya ingin mendapatkan jawapan bagi kemusykilan saya seperti di bawah ini:

1. Adakah saya murtad?
2. Jika demikian, adakah taubat saya itu betul dan diterima Allah?
3. Jika tidak, bagaimanakah cara-caranya bagi saya mengislamkan diri saya kembali?
4. Dan baru-baru ini saya telah bernikah dengan seorang gadis Islam. Adakah pernikahan saya itu sah di sisi agama Islam?
5. Adakah persetubuhan yang kami lakukan itu sah sebagai suami isteri?
6. Adakah saya ini melakukan sesuatu yang betul dengan menulis kepada tuan dari bersemuka dengan tuan sendiri?

Wajib atas setiap muslim/muslimah menjaga agamanya dari segala apa yang boleh merosakkan kepercayaannya kerana banyak telah berlaku pada masa kebelakangan ini orang yang meringan-ringankan perkara yang begitu berat hukumnya. Mereka dengan tidak sedar melafazkan kata-kata yang menjadikan mereka terkeluar dari agama Islam. Ada orang yang tidak menganggap kata-katanya itu sebagai dosa besar, apatah lagi hendak menganggapkan diri mereka itu telah terkeluar dari agama Islam. Hukum murtad (semoga Allah menjauhkan kita daripadanya) bahawa ia menggugurkan segala amal kebajikan atau ganjaran baik yang pernah seseorang itu kerjakan seolah-olah ia tidak pernah melakukan apa-apa pun.
Murtad itu terjadi:

7. Jika seseorang mukallaf Islam bebas dari paksaan apa-apa memutuskan Islamnya dengan azam/niat menjadi kafir seperti hendak masuk agama lain atau ia syak tentang adanya Allah, atau kerasulan Nabi Muhammad atau keutuhan Al-Quran sebagai Kalam Allah, atau menghalalkan yang haram seperti halalkan zina, arak atau mengharamkan yang halal seperti mengharamkan pernikahan, jual beli atau mempercayai bahawa adanya Rasul selepas Nabi Muhammad, atau mendakwa bahawa ia telah diwahyukan sekalipun ia tidak mengakui Nabi.

8. Jika seseorang itu sujud kepada berhala atau kepada matahari, bulan atau pun makhluk.

9. Jika seseorang Islam itu melafazkan kata-kata (jenis ini sangat banyak berlaku) terhadap kawannya orang Islam juga: “Wahai orang kafir”, atau ia permain-mainkan nama Allah atau balasan baik daripada-Nya di syurga atau amaran-Nya dengan balasan buruk di neraka atau katanya “Ia tidak rela dengan hukuman ALLAH atau sebagainya.

Bagi orang yang telah terlanjur dengan perkara yang tersebut tadi wajiblah baginya dengan serta merta, kembali kepada Islam dan mengucap dua kalimah syahadat dan terus hentikan perbautan salahnya itu dan wajib berasa kesal terhadap apa yang terjadi dan wajib berazam tidak akan membuat kesalahan itu lagi. Wajib atas kita menyuruh dia bertaubat dan tidak boleh menerimanya melainkan ia dalam Islam. Selagi ia murtad segala amalan agamanya tidak sah, begitu juga perkahwinannya. Ini bererti jika ia sudah berkahwin, isterinya tidak lagi halal baginya sehingga ia kembali semula kepada Islam. Jika ia kembali kepada isterinya selepas masa edah maka kembalinya itu perlu dengan akad nikah yang baru. Begitu juga semasa ia murtad, tidak halal penyembelihannya, jika ia mati, ia mati dalam keadaan kafir, tidak mendapat layanan sebagai seorang Islam.
Kembali kepada keadaan saudara, ketika saudara berniat hendak memeluk agama kekasih lama saudara itu, ketika itulah saudara telah mempunyai nait atau azam hendak meninggalkan Islam. Maka ketika itulah juga saudara telah terjatuh kepada kesalahan yang sangat besar ini. Syukur saudara telah sedar dengan segera dan beristighfar, mengucap dua kalimah syahadat serta bertaubat. Dengan demikian saudara telah berbuat yang sepatutnya saudara lakukan. Oleh itu telah kembalilah saudara sebagai seorang Islam semula dan sahlah amalan atau pernikahan saudara itu selagi amalan atau pernikahan saudara itu mengikut syarat-syaratnya yang sah.

Bagi menjawab soalan saudara yang terakhir itu, sebenarnya saudara boleh bertanya atau meminta nasihat sama ada dengan cara menulis atau datang berjumpa dengan Mufti sendiri.

39. IMAN

Adakah benar iman seseorang itu boleh betambah dan berkurangan?

Mengikut pendapat Jumhur ulama salaf dari perawi Hadis Nabi dan sebahagian Ulama Ilmu Kalam bahawa iman itu bertambah dengan banyak taat dan berkurangan dengan banyak melakukan maksiat. Mereka berpandukan pendapat mereka kepada beberapa firman Allah seperti ayat 4 dari Surah Al-Fatah yang ertinya: “Dia yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman, supaya bertambah keimanan mereka di samping keimanan yang sudah ada pada mereka.” Dan ayat 31 dalam Surah Al-Mudathsir: “Dan supaya bertambah keimanan orang-orang yang beriman.” Dan dalam ayat 22 Surah Al-Ahzab: “Tatkala orang-orang mukmin melihat puak-puak musuh yang bersekutu, mereka berkata: Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami, Allah dan Rasulnya Maha Benar! Hal itu telah menambah keimanan dan kepatuhan mereka.”

40. LELAKI MEMAKAI CINCIN EMAS

Apakah hukumnya lelaki Islam memakai cincin emas?

Hukum memakai emas bagi lelaki Islam adalah haram. Dalilnya dari Hadis daripada Saiyidina Ali ra yang ertinya: Saya telah melihat Rasulullah saw memegang sutera kemudian diletaknya di kanannya, dan mengambil emas dan meletaknya di kirinya, seraya berkata, “Kedua-dua ini adalah haram bagi lelaki umatku.” Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i. Dan Tirmizi ada tambahan lafaznya: “Dihalalkan bagi perempuan-perempuan mereka.” Hadis riwayatnya diakui benar.

41. DAPUR-DAPUR KUBUR

Apakah hukum membina dapur-dapur kubur?

Menurut Islam, membina dapur-dapur di atas kubur hukumnya makruh jika dapur-dapur itu dibina tidak melewati kawasan sesebuah kubur. Apabila dapur-dapur itu dibina terkeluar dari kawasan yang terhad pada tanah wakaf bagi perkuburan itu, maka hukumnya adalah haram. Dalilnya: Dari Jabir bahawa ia telah mengatakan (maksudnya): “Bahawa Rasulullah telah melarang orang membina dapur-dapur batu pada kubur, melarang orang duduk di atasnya, dan melarang dibinakan bangunan di atas kubur” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim, Nasa’i, Abu Daud dan Tirmizi). Adapun membelanjakan wang yang banyak untuk membina dapur-dapur itu dengan bahan-bahan mewah yang mahal (seperti marmar, siramik, mosaik dan sebagainya); yang dianggap oleh setengah-setengah orang sebagai amal jariah kepada si mati itu adalah sangkaan yang tidak benar, bahkan yang demikian itu adalah perbuatan membazir semata-mata; padahal membazir itu adalah seperkara yang diharamkan oleh agama Islam.

42. FADILAT BULAN REJAB

Adakah benar bulan Rejab mempunyai fadilat yang tertentu dan apakah fadilatnya itu?
Benar, bulan Rejab mempunyai fadilat yang tertentu dan juga pada hari-hari dan bulan-bulan lain dalam taqwim Islam yang mempunyai kelebihan dan fadilatnya yang tersendiri. Orang-orang yang beramal dan beribadat dalam bulan tersebut akan mendapat ganjaran pahala yang besar yang disediakan oleh Allah swt. Allah swt telah menentukan hari-hari tertentu iaitu Jumaat, hari Arafah dan hari Tasyrik. Bagi malamnya pula ialah “Malam Lailatul Qadr.” Hari-hari dan malam tersebut mempunyai beberapa fadilat dari hari-hari dan malam-malam yang lain. Antara bulan-bulan pula Allah swt telah menentukan bulan Ramadan sebagai bulan yang termulia daripada bulan yang lain kerana dalam bulan tersebut telah diturunkan Al-Quran yang membawa hidayat dan panduan kepada manusia sejagat. Kemudian bulan-bulan suci pula iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab. Maksud sebuah Hadis yang menerangkan kelebihan-kelebihan hari dan masa-masa yang tertentu itu ialah “Ketahuilah, Tuhan telah menyediakan pemberian-pemberian-Nya pada hari-hari yang tertentu di dalam tahun kamu, maka carilah dia.”

Kelebihan bulan Rejab adalah kerana terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj sebagai penghormatan tertinggi atas Baginda Rasulullah saw. Dalam bulan ini juga Baginda dapat melihat tanda-tanda kebesaran Allah swt. Dalam bulan ini juga turunnya perintah yang mewajibkan fardu sembahyang. Pada bulan Rejab sangat digalakkan beristighfar dan memohon pengampunan daripada Allah swt.

43. DERMA BUAH PINGGANG

Buah pinggang (kidneys) merupakan antara anggota yang terpenting dalam tubuh manusia dan ia memainkan peranan utama dalam kehidupan kita. Buah pinggang boleh terkena berbagai penyakit yang mengancam kehidupan si pesakit. Sebahagian daripada penyakit itu boleh diubat dengan penyucian darah iaitu yang disebut “dialasis”. Pesakit ini terpaksa datang ke hospital 3 kali seminggu untuk mencuci darah yang memakan masa antara 5 hingga 8 jam. Cara ini adala merupakan suatu perkara yang amat menyusahkan pesakit dari segala segi. Bagaimanapun, cara yang paling baik ialah dengan cara pemindahan buah pinggang untuk mengubat pesakit ini supaya ia dapat hidup seperti biasa. Buah pinggang diambil daripada mereka yang mati secara mengejut atau didermakan oleh orang-orang yang bersetuju buah pinggangnya kepada si pesakit. Apakah pandangan Islam tentang pemindahan/pendermaan buah pinggang?

Dalam masalah ini para ulama Islam telah membincangkannya dan satu fatwa telah dikeluarkan yang mengharuskan pemindahan ini dengan syarat ia dilakukan dalam keadaan darurat.

JIKA DALAM KEADAAN YANG BUKAN DARURAT

Menderma semasa hidup: Hukumnya haram.

Alasannya:

1. Berdasarkan firman Allah swt, “Janganlah kamu menceburkan diri kamu di dalam kebinasaan” (Al-
Baqarah: 195)

2. Berdasarkan kaedah hukum Fiqh, “Bahaya tidak boleh ditolak dengan bahaya.”

3. Badan dan seluruh anggota adalah amanah Allah pada diri seseorang manusia itu. Tiap-tiap satu daripadanya akan disoal di akhirat kelak. Dalilnya dengan firman Allah yang ertinya “Sesunguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal.” (Al-Israk: 36)
Menderma setelah mati (berwasiat): Hukumnya haram juga.

Alasannya:

4. Setiap mayat yang boleh dikebumikan mestilah dikebumikan. Dalilnya dengan firman Allah swt yang ertinya, “Bukankah kami menjadikan bumi tempat berkumpul, orang-orang hidup dan orang-orang mati.”
5. Dan juga dengan firman Allah, “Kemudian Dia (Allah) mematikannya dan memasukkannya ke dalam kubur.”

6. Kemuliaan mayat itu ialah pengkebumiannya. Kalaulah ada anggota yang tertentu yang harus diberikan kepada orang lain, bererti ia tidak dikebumikan, nescaya seluruh badan mayat itu juga boleh diberikan dan tidak akan dikebumikan.

7. Dari Hadis, Aishah ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang ertinya, “Memecahkan tulang si mati adalah seperti memecahkan ia semasa dia hidup.” (Riwayat Abu Daud)

8. Memotong sesuatu anggota daripada mayat termasuk di dalam ertikata menyakiti orang mukmin lelaki dan perempuan, hukumnya adalah haram. Dari firman Allah yang ertinya, “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahannya mereka perbuat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.” (Al-Ahzab: 58)

9. Berpegang kepada kaedah, “Bahaya tidak boleh ditolak dengan bahaya.” Oleh kerana mengeluarkan sesuatu buah pinggang itu bermakna merosakkan badan mayat, maka ini adalah satu penghinaan terhadapnya. Sedang mengkebumikan dan menghormati mayat itu hukumnya wajib dengan Nas yang terang dan nyata serta amalan setiap umat manusia yang bertamaddun dari zaman berzaman lagi kecuali sebahagian kecil sahaja.

10. Penghormatan kepada mayat adalah satu daripada amalan Rasulullah saw. Baginda pernah berdiri menghormati jenazah yang lalu di hadapannya walaupun terhadap jenazah orang kafir.
Sayyid Sabiq di dalam kitabnya yang bernama “Fiqhus Sunnah” Bab jenazah telah menukilkan perkataan Ibn Hazam katanya; “Elok berdiri terhadap jenazah yang lalu walaupun jenazah kafir.” Imam Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Sahl bin Hanif dan Qais bin Sa’ad iaitu ketika mereka berdua duduk di kawasan Al-Qadisiah maka diangkat orang satu jenazah lalu mereka keduanya bangun (menghormatinya) maka orang berkata ini jenazah orang di sini (yakni kafir zimmi) maka jawab mereka: Rasulullah saw pernah bangun menghormati jenazah yang lalu kemudian dikatakan kepada Baginda: “Itulah jenazah Yahudi.” Maka jawab Baginda: “Bukankah itu juga satu jiwa.” Maka berdasarkan ini, mayat orang yang bukan Islam sekalipun kalau menurut undang-undang Islam tidak boleh dipermainkan atau diperhinakan kerana Allah swt telah berfirman yang ertinya, “Demi sungguh telah kami muliakan anak Adam” Apatah lagi untuk dibelah-belah atau dipotong dengan tiada sebarang sebab yang diakui oleh syarak.

DALAM KEADAAN DARURAT

Yang dimaksudkan dengan darurat ialah bagi menyelamatkan jiwa. Pemindahan buah pinggang dibenarkan dalam keadaan “darurat”. Perkataan “darurat” mesti dititikberatkan. Ini berdasarkan kaedah fiqih, “Perkara-perkara darurat mengharuskan perkara yang dilarang.” Juga hendaklah dijadikan panduan ayat 173, Surah Al-Baqarah yang ertinya, “Tetapi sesiapa yang terpaksa oleh keadaan tidak sengaja hendak melakukan dan melanggar aturan, maka tidaklah dia berdosa. Sesunguhnya Tuhan itu Pengampun dan Penyayang.”
Jika si penderma masih hidup:

11. Si penderma hendaklah orang yang mukallaf.
12. yang rela dan tanpa paksaan.
13. yang sudah dipastikan pembedahan itu berjaya pada biasanya.
14. juga tidak memudaratkan si penderma.
Jika diambil dari yang telah meninggal dunia:
15. Waris telah memberi kebenaran
16. Ada kerelaan si mati seumpama dalam bentuk telah menyatakan kerelaan semasa ia masih hidup
17. Jika seseorang itu telah berikrar hendak mendermakan buah pinggangnya selepas ia meninggal dan rancangannya itu telah dirundingkannya dengan para waris semasa hayatnya. Jika, ia dan warisnya sudah mendatangani ikrarnya, bolehlah dianggap bahawa pendermaan ini sudah dipersetujui oleh warisnya, selagi ia tidak menarik balik persetujuannya. Untuk mengelakkan kerosakan buah pinggang lantaran mengambil masa terlalu lama bagi mendapatkan keizinan waris sedang pemindahannya itu merupakan darurat, oleh itu, izin waris tidak perlu didapatkan sekali lagi.

Ini berdasarkan kaedah fiqih yang bermaksud,

• Jika sesutu masalah itu telah sempit, maka ia akan menjadi lapang.
• Kesukaran itu menarik adanya kemudahan.
• Perkara-perkara darurat mengharuskan yang dilarang.

18. Juga secara umum hendaklah dijaga supaya buah pinggang ini tidak diperniagakan. Juga pendermaan buah pinggang ini dalam hal spontan iaitu tidak disimpan di dalam “bank”.

44. MENOLAK ASSUNAH/ALHADIS

Baru-baru ini saya telah mendengar satu puak yang diketuai oleh Rashad Khalifah yang menolah Assunah/Alhadis sebagai satu dari dasar hukum syarak. Apakah pandangan Islam terhadap orang-orang sepertinya. Apakah mereka masih boleh dianggap sebagai orang-orang Islam?

Alhadis/Assunah adalah sesuatu yang datang dari Rasulullah saw sama ada perkataan, perbuatan, persetujuan atau sifatnya. Banyak firman Allah yang menyuruh kita taatkan Allah dan Rasul-Nya. Taat pada Rasulullah bererti wajib bagi kita menerima pengajaran Rasul dan hukum yang ditentukan dan dilarang kita mengingkarinya. Terdapat juga banyak ayat Al-Quran yang menerangkan bahawa Rasulullah telah diberi tugas untuk menjelaskan apa yang tidak nyata dari perintah-perintah Allah di dalam Al-Quran, antaranya adalah Firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan orang yang memegang kekuasan dari kalangan kamu…” (An-Nisa: 59)

“Dan siapa yang taat kepada Rasul itu (Muhammad), maka sesungguh-nya dia telah taat kepada ALLAH dan siapa yang berpaling maka Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) untuk menjadi penjaga mereka.” (An-Nisa: 80)
“Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu hendaklah kamu terima, dan apa yang dilarang hendaklah kamu hentikan.” (Al-Hasyr: 7)
“Sebab itu, hendaklah mereka yang melanggar perintah Rasul itu berjaga-jaga bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa azab yang sangat pedih.” (An-Nur: 63)
“Dan Kami turunkan kepada engkau (Muhammad) pengajaran (Quran) supaya engkau jelaskan/terangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka” (An-Nahl: 44)
“Maka tidak! Demi Tuhan engkau, mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad) hakim pada perkara-perkara yang mereka perselisihkan. Kemudian mereka tidak mndapati di dalam diri mereka sebarang keberatan untuk menerima apa yang telah engkau putuskan dan mereka patuhi dengan sepenuhnya.” (An-Nisa: 65) Ayat-ayat Al-Quran tadi adalah jelas menyuruh kita patuh kepada Nabi Muhammad saw. Caranya ialah dengan menurut Sunnahnya. Walaupun apa juga Hadis yang kurang sahih, yang ditekankan di sini iaah mengikuti Sunnah Rasul. Sesungguhnya Rasul itu tidak bercakap atau bertindak sesuka hatinya tanpa ilham dari Allah swt.
Ulama-ulama Islam tidak pernah berselisih dalam menerima Assunah sebagai sumber hukum syarak selepas Al-Quran.
Orang yang menolak Assunah ertinya menolak Al-Quran itu sendiri, kerana ia tidak percaya kepada sebahagian daripada Al-Quran. Ulama Islam telah sepakat tentang hukumnya iaitu orang yang berbuat demikian adalah bukan dari golongan orang Islam. Mereka adalah orang kafir.

45. PERAYAAN CHINGAY

Bolehkah persembahan hadrah diadakan dalam perayaan Chingay?

Persembahan hadrah pada biasanya dilaungkan di dalamnya salawat dan Madaih Nabawiyah yang berunsur ugama Islam. Hadrah seperti ini pernah dipersembahkan pada zaman Nabi saw dan telah menjadi tradisi kepada orang-orang Islam apabila mengadakan perayaan-perayaan keugamaan atau menyambut pembesar-pembesar Islam ke negaranya. Oleh kerana perayaan Chingay ada unsur-unsur keagamaan bukan Islam maka persembahan hadrah dalam perayaan Chingay adalah tidak sesuai.

%d bloggers like this: