Hukum Makan Ikan Makan Najis

‎“Haram Makan Ikan Yang Diberi Makanan Najis” – JKF‎

Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ‎yang bermuzakarah bagi kali ke-73 pada 4 hingga 6 April 2006 telah memutuskan ‎bahawa ikan yang dipelihara di dalam kolam ternakan dan seumpamanya adalah ‎haram dimakan sekiranya ikan tersebut sengaja dipelihara di dalam air najis atau ‎sengaja diberi makanan yang bersifat najis seperti daging babi, bangkai dan usus ‎binatang yang tidak disembelih mengikut Syarak . ‎

Muzakarah kali ini juga turut membincangkan mengenai Kaedah Autopsi Maya dalam ‎bedah siasat mayat, hukum penggunaan Wine Vinegar dan hukum melantik wanita ‎sebagai Hakim Syarie. ‎

Seramai 21 orang ahli Jawatankuasa yang hadir pada Muzakarah kali ini juga turut ‎diberi taklimat mengenai Kalkulator Penentuan Arah Kiblat Dan Solat Di Angkasa ‎oleh Prof. Madya Dr. Zainol Abidin bin Abd. Rashid dari Fakulti Kejuruteraan ‎Universiti Kebangsaan Malaysia .‎

Sementara itu, Pengerusi JKF, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dalam ‎ucapan aluannya menegaskan bahawa selaras dengan matlamat yang terkandung di ‎dalam Rancangan Malaysia Ke-9 untuk mewujudkan masyarakat berilmu di negara ‎ini, ahli-ahli JKF juga perlu menyahut cabaran tersebut ke arah mempertingkatkan ‎lagi kompetensi dalam semua bidang ilmu . ‎

Menurut beliau lagi, dengan menguasai pelbagai bidang ilmu, para ulama’ dan ‎cendekiawan Islam mampu ‘duduk semeja’ dengan ahli-ahli profesional yang lain ‎dalam sebarang isu pembangunan negara. ‎

Sempena dengan Muzakarah kali ini juga, YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr. ‎Mohd. Khir Toyo, telah sudi meraikan semua ahli Jawatankuasa Fatwa dalam Majlis ‎Makan Malam yang turut dihadiri oleh Y. Bhg. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ‎Dato’ Ramli bin Mohamad, YB Dato’ Abd. Rahman Palil, EXCO Kerajaan Negeri ‎Selangor, ahli-ahli Majlis Agama Islam Selangor, ahli-ahli Jawatankuasa Perunding ‎Hukum Syarak Selangor dan ahli-ahli kenamaan yang lain. ‎

YAB Menteri Besar Selangor dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha ‎Kerajaan Negeri Selangor menggesa supaya Jawatankuasa Fatwa bersikap lebih ‎proaktif supaya masyarakat Islam akan sentiasa mendampingi Jawatankuasa ini ‎dalam apa jua situasi yang dihadapi dan penjadi rakan seiring dalam arus ‎pembangunan negara. ‎

Menurut beliau lagi, dalam memutuskan sesuatu fatwa para ulama’ perlu mempunyai ‎maklumat yang secukupnya supaya sebarang keputusan yang dibuat tidak diragui ‎oleh mana-mana pihak. ‎

Di akhir ucapannya, beliau menggesa semua pihak memainkan peranan yang ‎penting dalam melahirkan umat yang memiliki iman yang kuat dan minda yang ‎sihat.‎

Pada Majlis tersebut juga, Y. Bhg. Dato’ Mustafa bin Abd. Rahman, Ketua Pengarah ‎JAKIM dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa organisasi pentadbiran Jabatan ‎Mufti di setiap negeri telah dipertingkatkan dan ia sebagai tanda penghormatan ‎Kerajaan di atas kepentingan institusi ini dalam hal ehwal pentadbiran negara.‎

Dato’ Mustafa yang merupakan Setiausaha JKF melahirkan kebimbangan di atas ‎tindakan golongan-golongan tertentu yang cuba menggugat akidah umat Islam dan ‎mempertikaikan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Islam. Golongan ini, ‎menurut beliau tanpa segan silu memperlekehkan hukum Islam dan para ulama’ ‎untuk kepentingan tersendiri. Walaubagaimanapun, menurut beliau, intitusi fatwa di ‎negara ini harus berbangga kerana dalam banyak isu-isu kontemporari yang ‎melibatkan hukum hakam Islam Malaysia lebih kehadapan dan ia dirujuk oleh ‎negara-negara Islam luar sebagai asas perbincangan hukum di negara mereka.‎

Muzakarah yang berlangsung selama 3 hari di Grand BlueWave Hotel Shah Alam ‎Selangor ini bertambah mantap dengan kehadiran Mufti baru Kerajaan Negeri ‎Terengganu S.S. Dato’ Haji Ismail bin Haji Yahya yang baru dilantik berkuatkuasa 1 ‎April 2006 yang lalu. Pengalaman beliau yang luas dalam bidang kehakiman Islam ‎diharap mampu meningkatkan lagi kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di ‎masa-masa akan datang.‎

Tarikh : 13 April 2006
Sumber : Pengarah Bahagian
Editor : PRO JAKIM

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: